Sunday, December 6, 2009

Persoalan Agama: Menguap disukai syaitan mampu bangkitkan nafsu

Soalan:

SAYA pernah mendengar orang mengatakan syaitan menyebabkan seseorang itu menguap. Adakah terdapat nas-nas atau dalil-dalil yang mengatakan demikian?

Iffah
Hulu Kelang,
Selangor.

Jawapan:

Di dalam kitab Imam Nawawi, ada menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci perbuatan menguap. Jika ada seseorang daripada kamu bersin, kemudian dia memuji Allah Taala dengan ucapan 'Alhamdulillah,' maka menjadi kewajipan bagi setiap Muslim yang mendengarnya mengucapkan 'Yarhamukallah" (semoga kamu mendapat rahmat daripada Allah). Sedangkan menguap adalah amalan syaitan.

Apabila seseorang daripada kamu menguap, maka hendaklah ia menolaknya dengan seberapa yang boleh kerana sesungguhnya apabila ada antara kamu yang menguap, maka syaitan akan mentertawakannya."

Sesetengah ulama berpendapat, maksud hadis itu ialah syaitan suka jika melihat seorang manusia menguap, bahkan mengaguminya kerana wajah manusia berubah ketika menguap. Oleh itu syaitan tertawa. Bukannya bermaksud syaitan yang menyebabkan seseorang itu menguap.

Sesetengah ulama lagi berkata: "Kalimah menguap disandarkan kepada syaitan sebab ia berpunca daripada perut yang penuh dan mengakibatkan seseorang itu malas. Semua itu disebabkan hasutan syaitan."

Imam an-Nawawi berkata: "Menguap biasanya dikaitkan dengan syaitan kerana ia mampu membangkitkan nafsu. Disebabkan syaitan, berat badan semakin bertambah, sifat malas timbul dan perut sentiasa penuh."

Justeru, hadis itu sebenarnya menunjukkan larangan menghampiri faktor yang mengakibatkan kepada keadaan itu, iaitu banyak makan.

No comments: