Oleh Hasliza Hassan
KEPEMIMPINAN adalah proses dan pelaksanaan kepimpinan untuk melahirkan individu yang dapat memantapkan sikap serta pandangan daripada segi mental, fizikal dan kewajipan. Melalui proses kepemimpinan itu akan menentukan sama ada rakyat yang dipimpin itu baik atau sebaliknya. Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata kepemimpinan Islam ialah terjemahan perlakuan sejauh mana pemimpin dan pengikutnya mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan.
"Kepemimpinan Islam ertinya menjawab persoalan bagaimana Islam dapat dihayati dan dipraktikkan dalam masyarakat, bagaimana ajaran Islam dapat memberi warna, bentuk, corak dan arah kepada pemimpin itu.
"Penghayatan ajaran Islam secara keseluruhannya juga memperlihat kepemimpinan itu mampu mengubah pandangan atau sikap serta cara hidup kelompok di bawah pimpinannya terutama dalam mewujudkan perubahan yang sudah lama terbentuk dalam masyarakat hingga hari ini," katanya ketika menyampaikan ceramah pertamanya sejak menyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim HadhariI pada Julai 2008, bertajuk 'Kepemimpinan Dunia Islam: Krisis dan Cabaran, di UKM, baru-baru ini.
Katanya, kepemimpinan Islam perlu menggabungkan pemimpin formal dan tidak formal atau umarak dan ulama kerana mereka saling berkait serta ada peranan penting dalam kepemimpinan mereka.
Peranan penting kepemimpinan ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah umara dan ulama." Hadis riwayat Ibn Abdul Barr)
Bagaimanapun kata Ismail, masyarakat negara ini cenderung berpendapat ulama adalah golongan bijak pandai berdasarkan pengertian perkataan itu yang dipinjam daripada bahasa Arab bermaksud ilmuwan yang boleh memberi nasihat daripada pelbagai sudut.
Kebelakangan ini negara memperlihatkan kecenderungan untuk menggabungkan ulama agama dalam kepemimpinan dan tindakan itu membuktikan lulusan agama turut memainkan peranan penting dalam kepemimpinan negara.
"Mereka harus menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan. Jika digabungkan ulama dan umarak, kepemimpinan akan menjadi lebih mantap dan masyarakat dapat dipandu dengan berkesan," katanya.
Namun katanya, pemerintah perlu tahu siapa ulama buruk dan baik kerana yang buruk boleh membawa kepincangan dalam kepemimpinan dan begitulah sebaliknya.
Petikan hadis menyatakan komponen kekuatan negara berdasarkan empat perkara iaitu ilmu ulama, keadilan umarak, kemurahan hartawan dan doa fakir. Kepemimpinan adalah amanah Allah, oleh itu pemimpin wajib memandu pengikutnya, melindungi dan menguruskan mereka dengan adil menurut lunas diredai Allah.
Katanya, pemimpin perlu mendidik diri mereka dulu, mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, meningkatkan nilai moral serta akhlak sebelum mendidik pengikut atau memperbetulkan orang lain. Islam menggariskan banyak prinsip bagi kepemimpinan Islam dan ciri perlu ada pada pemimpin antaranya kuat dalam akidah, adil dan jujur, berpandangan luas serta tidak fanatik, mengutamakan kepentingan rakyat dan mampu mewujudkan kerjasama dengan rakyat. Pemimpin juga perlu bersikap terbuka dalam menerima pandangan, pemaaf serta memiliki sikap toleransi, berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang kepemimpinan selain bertanggungjawab, amanah, telus dan tidak mementingkan diri sendiri.
Ismail berkata, kegagalan kepemimpinan berlaku jika tidak mempunyai ciri pemimpin ideal kerana rakyat mengikut kata pemimpin dan mereka gambaran sebenar kepada kepemimpinan. Bagaimanapun katanya, mungkin tidak semua ciri itu ada dalam diri pemimpin tetapi mereka perlu berusaha memiliki seberapa banyak nilai baik supaya dapat dijadikan contoh.
"Simbol kepemimpinan Islam harus dipraktikkan pemimpin supaya yang dipimpin juga mengamalkan ajaran Islam sebenar," katanya.
Beliau berkata, kepemimpinan Islam juga menghadapi kegagalan apabila terhakis keupayaan menentang aliran melampau ikhtilaf mazhab, ideologi pemikiran liberal mengenai agama, golongan menafikan ijmak ulama dan hambatan bukan Islam yang jahil mengenai Islam.
Katanya, kini ada yang mencabar ajaran Islam melalui pelbagai cara termasuk penggunaan nama Allah dan setiap usaha mengandungi agenda tersembunyi itu perlu ditangani pemimpin. Walaupun Malaysia negara kecil, banyak perkara positif disuarakan menjadi contoh kepada negara Islam lain seperti kebangkitan Islam, kemajuan teknologi dan peningkatan ekonomi.
Apa yang boleh dilakukan ialah mengkaji kelemahan kepemimpinan dunia Islam supaya dapat menghasilkan perubahan dan pucuk kepemimpinan dalam lapisan pemimpin akan datang.
"Potensi kita ada dari segi ilmiah untuk mencetuskan idea yang baik dan tiba masanya memperbaiki kelemahan. Semua ini bersumberkan ilmu yang mesti menjadi agenda kepada umarak dan ulama," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment