Soalan:
BARU-BARU ini rakan saya menghadiri satu seminar syarikat jualan langsung yang agak terkenal. Beliau memberitahu saya ada penceramah dalam seminar itu mendakwa ada produk makanan dan penjagaan diri yang tidak halal kerana bercampur dengan sumber berasaskan babi, biarpun ia mempunyai tanda halal. Beliau juga mendakwa sijil halal boleh dibeli biarpun produk itu sebenarnya tidak halal, atas dasar ekonomi. Kata-katanya itu mengganggu fikiran saya dan menimbulkan rasa was-was. Apakah benar dakwaannya itu.
Mencari Keredaan,
Kemaman, Terengganu
Jawapan:
Islam amat mengambil berat perihal makanan dan minuman. Selain soal apa yang boleh dimakan (halal), apa tidak boleh dimakan (haram) dan apa yang makruh dimakan, pelbagai adab dan pantang larang ketika makan dan minum diajar dalam Islam. Perkara ini kerana makanan dan minuman boleh membawa seribu satu penyakit, membentuk darah daging serta boleh mempengaruhi jiwa dan minda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu jelas, antara kedua-duanya ada yang syubhat, yang mana ramai orang tidak mengetahuinya (kejelasan hukumnya), sesiapa yang menjauhi syubhat, dia sesungguhnya terlepas (daripada dosa)......" (Muttafaq Alaih). Menurut Kitab Subulus Salam, syarah kepada kitab Bulughul Maram karangan Imam Muhammad bin Ismail as-Son'ani, hadis ini merujuk kepada pengertian warak di dalam Islam, iaitu membawa maksud meninggalkan yang syubhat, dikhuatiri perkara syubhat itu kemungkinannya haram. Oleh itu, sekiranya anda was-was terhadap status halal sesuatu perkara dan tidak ada hujah atau petunjuk mengenainya, maka sebaik-baiknya anda mengelakkan daripada menggunakan barang itu.
Justeru, berhubung dengan persoalan saudara mengenai produk berada di pasaran, sekiranya sudah mendapat perakuan halal yang dikeluarkan pihak berkuasa, maka sebagai masyarakat awam ia harus untuk dipercayai. Namun, sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan atau memerlukan penjelasan lanjut, anda boleh membuat aduan dan pertanyaan kepada;
Halal Industry Development Corporation (HDC), Aras G, Blok 2200, Enterprise Building 3, Persiaran APEC, 63000, Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan. Nombor telefonnya 03-83150200 dan faksimili 03-83187044.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment