Sunday, March 1, 2009

Persoalan Agama: Sistem faraid tak boleh diubah dan dikaji semula

Bersama Jakim

Soalan:

SUDAH terlalu banyak isu berhukum pembahagian harta mengikut sistem faraid dibangkitkan beberapa badan bukan kerajaan wanita atas alasan mahukan kesamarataan tuntutan harta antara lelaki dan wanita. Ini termasuk menggesa agar undang-undang Islam mengenainya dikaji semula. Persoalannya apakah peraturan Islam mengenai sistem faraid yang sudah sekian lama termaktub, dikaji semula? Apakah hukumnya berdosa membuat gesaan sedemi-kian.

Nina Alias
Damansara,
Selangor

Jawapan:

Apabila seseorang itu meninggal dunia, dia tidak mampu berfikir dan menguruskan hartanya sendiri, apatah lagi untuk menjaga kebajikan orang yang terdekatnya (waris). Maka Allah membuat peraturan itu untuk manusia. Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Seribu satu kemungkinan akan berlaku sekiranya pembahagian harta pusaka diberi kepada manusia untuk menguruskannya. Dengan kemampuan pe-mikiran yang terhad dan ketamakan masing-masing terhadap harta, mungkin berlaku ketidakadilan, yang berhak tidak mendapat bahagian, berlaku penganiayaan atau permusuhan.

Antara hikmah pembahagian harta pusaka menurut sistem faraid ini ialah:

i. Kaum lelaki sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap nafkah isi rumah, termasuk ibu, adik beradik perempuan, isteri dan anak.

ii. Harta milik wanita tidak terusik walaupun dia mendapat jumlah yang sedikit kerana adik beradik lelaki mahupun suami tidak berhak ke atas hartanya. Malah dia tidak wajib memberi nafkah kepada sesiapa pun hatta dirinya sendiri menjadi tanggungjawab lelaki sebagai pemberi nafkah.

iii. Sistem faraid ialah pembahagian yang adil mengikut kelayakan, sesuai dengan tingkat keakraban mereka dengan si mati tanpa memilih lelaki atau perempuan, bayi atau dewasa, cerdik atau lembap, kuat atau lemah.

iv. Pembahagian secara faraid ini berlaku sekiranya tidak mendapat persetujuan dan kata sepakat daripada waris yang berhak untuk mendapat bahagian secara sama rata.

v. Islam mengangkat darjat wanita, kerana pada zaman jahiliah atau sebelum itu, wanita tidak berhak mewarisi harta keluarga. Sehinggakan ibu tiri boleh diwarisi oleh anak lelaki setelah kematian bapa.

Justeru, umat Islam perlu mempelajari, memahami hikmah dan mengamalkannya dalam kehidupan seraya merenung kembali kepada firman Allah yang bermaksud "Yang demikian itu (hukum-hukum waris) batas-batas Allah dan barang sesiapa derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batasNya, nescaya Allah akan masukkan dia ke neraka, dia kekal di dalamnya, dan ia mendapat seksa yang hina" (surah an-Nisa' : ayat 13-14)

Begitu juga dengan saranan Rasulullah bermaksud "Pelajarilah ilmu Faraid, kerana Faraid itu termasuk urusan agama kamu, dan ia seperdua ilmu, dan akan ditarik (cabut) yang pertama kali dari umatku. (Riwayat Ibnu Majah).

Tegasnya, sistem faraid tidak boleh diubah dan dikaji semula bagi mengadakan pembetulan dan sebagainya. Sistem faraid sudah ditentukan Allah dengan wahyu yang diturunkan di dalam al-Quran dan diperjelaskan lagi oleh Nabi Muhammad SAW bagi menjaga kebajikan, dan kemaslahatan, keadilan dan perpaduan umat manusia.

2 comments:

nurulfais said...

assalammualaikum,apakah hukum bila seseorg ahli keluarga menolak pembahagin harta mengikut sistem faraid.berapakah nisbah pembahagian harta mengikut sistem faraid(balu anak lelaki@perempuan)

Waezhae said...

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2760920044164095&id=100007383784757