Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Manusia perlu sedar kepentingan makhluk lain bagi jamin kesejahteraan ekosistem
SIKAP segelintir pihak menidakkan hak hidupan liar untuk terus bermandiri serta berbakti kepada alam dan umat manusia demi kepentingan kebendaan semata-mata sangat dikesali. Sungguhpun banyak kempen kesedaran pentingnya hidupan liar terhadap keseimbangan alam sekitar dan ekosistem, ia seolah-olah tidak memberi kesan disebabkan sikap tamak haloba yang beraja di hati.
Buktinya, laporan media berhubung kes pemburuan haram dan penyeludupan spesies hidupan liar terutama spesies terancam tidak pernah surut, malah semakin berleluasa. Melihat keadaan ini, seolah-olah tiada petanda kegiatan tidak bertanggungjawab ini akan berakhir.
Pelbagai persoalan timbul di benak, sampai bilakah nasib hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Di mana silapnya sehinggakan begitu mudah hidupan liar 'bolos' ke luar negara untuk di pasarkan ke pasaran gelap?
Dikhuatiri jika masalah ini terus berlanjutan, ia akan memberi tekanan lebih parah kepada hidupan liar yang selama ini banyak menderita akibat pencerobohan habitat mereka untuk kepentingan ekonomi semata-mata.
Lebih malang dan menyedihkan lagi apabila ada sebahagian hidupan liar yang diburu mengalami kecederaan, kecacatan kekal, serta terpaksa meneruskan sisa hidup dengan keupayaan terbatas akibat penggunaan jerat. Jika keadaan ini tidak dibendung segera, tidak mustahil suatu masa spesies hidupan liar terbabit akan pupus.
Jika hari ini, spesies harimau Malaya di Malaysia begitu terancam dan daripada perangkaan dilaporkan, dianggarkan 80 peratus daripada jumlah yang masih tinggal akan mengalami kepupusan dalam tempoh 50 tahun lagi.
Tidak mustahil, suatu masa spesies lain turut menerima nasib sama dengan harimau Malaya yang kini terpaksa bertarung demi meneruskan sisa hidup masih berbaki dalam suasana perit lantaran habitat semakin terganggu.
Timbulnya konflik dengan manusia secara berterusan memburukkan lagi keadaan. Justeru, sanggupkah kita melihat spesies hidupan liar yang lain mengikut jejak harimau Malaya yang semakin menyusut bilangannya hari ini?
Pemburuan dan penyeludupan terhadap sesuatu spesies hidupan liar dilihat bermusim mengikut permintaan semasa. Laporan media di Temerloh bulan lalu menunjukkan tiga spesies hidupan liar yang semakin terancam dan giat diburu, iaitu burung hantu, tenggiling dan biawak untuk diseludup dan dipasarkan ke Indochina sebagai hidangan eksotik.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Datuk Abdul Rasid Samsudin, ketiga-tiga spesies itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap ekoran begitu digemari penggemar makanan eksotik di sana sehingga harga mencecah RM200 seekor.
Daripada laporan yang dibuat, kerja pemburuan dan penyeludupan hidupan liar menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat sebelum diseludup ke luar negara melalui jalan laut dan darat.
Faktor itu menjadikan usaha membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar bertambah rumit. Justeru, kesedaran masyarakat setempat perlu bagi menangani masalah penyeludupan spesies haiwan yang dilindungi supaya tidak berhadapan dengan ancaman kepupusan.
Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kegiatan pembalakan dilakukan tanpa kawalan menyebabkan semakin banyak habitat hutan yang menjadi tempat perlindungan hidupan liar musnah.
Daripada perangkaan yang dilaporkan, dunia kini sedang kehilangan lebih daripada 170,000 kilometer persegi hutan daripada permukaan bumi.
Mengimbas kembali kurun ke-19, hutan hujan tropika yang kita miliki masih lagi meliputi hampir 90 peratus di seluruh Semenanjung. Namun, menjelang 1957, kawasan yang dilitupi hutan berkurang kepada 74 peratus dan kebanyakan kawasan tanah rendah ditukar statusnya bagi menggiatkan lagi sektor pertanian.
Keadaan bertambah buruk apabila jumlah hutan yang kita miliki semakin berkurang kepada 61 peratus pada 1970-an, manakala hanya tinggal 47 peratus saja kawasan dilitupi hutan pada 1980-an.
Dalam setahun, dianggarkan negara kita kehilangan kira-kira 7,000 kilometer persegi kawasan hutan asli. Selari penyusutan kawasan hutan, jumlah hidupan liar termasuk harimau juga turut berkurang ekoran kitaran makanan dalam ruang lingkup habitat yang semakin mengecil. Keadaan ini sekali gus menyebabkan kadar populasi hidupan liar menyusut secara membimbangkan.
Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar supaya tidak pupus daripada muka bumi ini. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlulah mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyeimbangkan antara membolos sumber alam dengan keperluan manusia.
Contohnya, menanam semula hutan, mengawal populasi hidupan liar, menggantikan petrol dengan hidrogen dan kuasa elektrik, mengitar semula bahan buangan serta mengadakan perdamaian dengan alam juga hidupan liar.
Secara mudahnya, perdamaian dapat dibentuk apabila kita bermuhasabah diri dan mendidik jiwa supaya tidak melakukan kemusnahan terhadap alam, berlaku adil terhadap hidupan liar yang sama-sama berkongsi persekitaran dengan kita dan menghormati hak hidupan liar.
Setiap lapisan masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies pupus, ia akan memberi kesan besar ke atas kitaran dan kestabilan ekosistem kita. Hari ini, kita dapati banyak kepincangan berlaku terhadap ekosistem lantaran sikap memandang enteng akan kepentingan setiap ciptaan Ilahi tanpa mensyukurinya.
Sedangkan, banyak amaran dan peringatan diberi Allah namun manusia tetap tamak sehingga mengabaikan kepentingan ekosistem demi keuntungan duniawi semata-mata yang seterusnya merugikan kita sendiri.
Justeru, mulai saat ini marilah sama-sama kita mengubah sikap dan mensyukuri nikmat Allah kurniakan di samping muhasabah diri dengan penuh kesedaran terhadap kepentingan makhluk lain supaya alam menjadi tempat lebih majmuk dan selamat untuk semua pihak.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment