Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Wujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam
JATUH dan bangunnya sesebuah negara berkait rapat dengan perpaduan dan kesatuan ummah yang menjadi teras kepada kestabilan negara. Ini adalah satu hakikat tidak boleh dinafikan dari segi realiti kehidupan dan kewarasan logik akal.
Pepatah Melayu juga ada berkata, "Bersatu teguh bercerai roboh". Ini diperkuatkan lagi dengan sejarah tamadun manusia yang banyak menyaksikan jatuh dan bangunnya sesebuah negara di dunia sejak zaman berzaman.
Apabila merenung kembali dan menginsafi keadaan umat Islam sekarang ini, kita dapati umat Islam masih lagi tidak bersatu dalam segala hal dan keadaan menjadi bertambah buruk apabila umat Islam saling bercakaran yang akhirnya mengakibatkan padah buruk kepada umat Islam sendiri.
Padahal umat Islam sedia maklum bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kepada kesatuan dan perpaduan ummah seperti pernah dibina Rasulullah SAW sendiri kepada masyarakat Arab terdiri kaum Muhajirin dan Ansar.
Justeru, mereka mampu dan berjaya mencipta keunggulan serta kejayaan dalam segala aspek kehidupan selaras dengan kedudukan mereka sebagai khaira ummah.
Banyak nas yang menganjurkan umat Islam sentiasa memelihara kesatuan dan perpaduan ini antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." � (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Rasulullah SAW pernah melukiskan mengenai kesatuan dan perpaduan dengan sabdanya yang bermaksud: "Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain ialah sebuah binaan yang terdiri daripada bahan yang saling menyokong antara satu sama lain sehingga tercipta sebuah binaan." � (Hadis riwayat Bukhari)
Suasana perpaduan ini dibuktikan sendiri oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabatnya sehingga mereka mampu melakarkan sejarah sebagai umat terbaik. Ini bukanlah suatu perkara mustahil bagi kita untuk mengulangi kembali lipatan sejarah dengan syarat kita kembali kepada Islam yang fitrah.
Menyedari akan kepentingan perpaduan ini bagi menjamin kestabilan dan keutuhan satu-satu umat dalam mengharungi gelombang hidup ini, adalah wajar bagi kita menjana kesatuan dan perpaduan yang utuh di kalangan orang Islam sendiri.
Allah memberi peringatan supaya kita memelihara perpaduan dan kesatuan ummah serta menjauhkan sama sekali sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan yang bisa menghancurkan negara.
Allah berfirman bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar." � (Surah al-Anfal, ayat 46)
Umat Islam perlu dan semestinya memupuk unsur membawa kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang kukuh seperti bersaudara atas dasar Islam, berkasih sayang, saling nasihat menasihati, bantu membantu dan ziarah menziarahi.
Ini penting bagi umat Islam, lebih-lebih lagi kita sekarang berada pada alaf baru yang menuntut lebih banyak persediaan serta kesungguhan dalam menobatkan kembali kegemilangan dan kecemerlangan dalam segala aspek kehidupan.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu berdendam kesumat, jangan kamu berhasad dengki, jangan kamu berpaling muka, jangan kamu pulau memulau, sebaliknya hendaklah kamu bersaudara. Adalah tidak harus bagi seseorang Muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari." � (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW ada menyediakan resipi ke arah mengukuhkan perpaduan ummah dengan bersabda yang bermaksud: "Demi nyawaku di bawah genggaman Allah! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah kamu kalau aku tunjukkan kepada kamu akan satu perbuatan, bila kamu lakukannya kamu akan berkasih sayang iaitu ucapkan salam sesama kamu." � (Hadis riwayat Muslim)
Justeru, Rasulullah SAW memberikan tips ke arah mewujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, perkuatkanlah silaturahim, kasihanilah golongan fakir miskin dan jangan tinggalkan solat malam." � (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis itu, Rasulullah SAW menyampaikan empat pesanan penting ke arah pengukuhan dan pemantapan institusi masyarakat harmoni dan bersatu. Lebih-lebih lagi seruan hadis itu menemui momentumnya selari keadaan mutakhir yang berdepan pelbagai kemelut mencengkam ummah.
Kita sebagai umat Islam dapat menyaksikan kedamaian dan keharmonian semakin tergugat dan berkocak disebabkan longgarnya kesatuan ummah di samping tali silaturahim sesama manusia pun semakin terungkai simpulannya.
Biarpun kedengaran suara supaya kembali kepada Islam dan akhlak Islam namun bagaikan air dicurahkan di daun keladi.
Marilah bersama berusaha untuk merealisasikan cita-cita mencipta perpaduan dan kesatuan ummah seperti pernah dikecapi generasi umat Islam terdahulu. Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Pada masa sama, mestilah memelihara perpaduan dan kesatuan ummah supaya terus utuh sepanjang masa berbekalkan ilmu yang mantap dan sinaran penghayatan keagamaan tidak pernah pudar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment