Sunday, March 1, 2009

Persoalan Agama: Penggunaan kain kafan putih sunat

Persoalan Agama Bersama Jakim

Soalan:

BAPA saya meninggal dunia beberapa tahun lalu. Segala hal pengurusan jenazah dan penghantaran ke Sabah dilakukan syarikat sebuah swasta. Apa yang menjadi persoalan keluarga sehingga hari ini adalah mengenai cara arwah bapa disemadikan. Jenazah bapa saya tidak dikafan dengan kain putih iaitu masih lagi memakai baju lengan panjang dan berseluar panjang warna hitam biarpun saya dan sepupu menyaksikan sendiri proses jenazah dimandikan sebelum dihantar ke kampung. Setibanya di kampung, jenazah bapa tidak dibuka dan terus dikebumikan. Persoalannya, apakah cara ini menepati syariat Islam.

Anak runsing
Kota Kinabalu,
Sabah

Jawapan:

Menurut ulama, kafan yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup auratnya dan membalut badannya. Tidak terikat kepada bagaimana dan warna kain itu.

Dibolehkan dengan pakaian sehariannya asalkan memenuhi konsep menutup aurat. Oleh kerana memakai kain putih itu adalah termasuk perkara sunat, maka tidak mengapalah bapa anda disemadikan dengan pakaian biasa yang dipakai ketika menghembuskan nafas terakhir.

Walaupun penggunaan kain kafan berwarna putih tidak diwajibkan tetapi ia adalah sunnah Rasulullah yang diamalkan sehingga hari ini.

Baginda menyarankan dalam hadisnya yang bermaksud "Pakailah pakaian putih sebagai pakaian kamu kerana pakaian putih itu sebaik-baik pakaian bagi kamu dan kapanilah dengannya (kain putih) orang yang mati daripada kalangan kamu" (Riwayat Ahmad, Abi Daud dan Tirmizi)

Di Malaysia, kebiasaannya proses pengurusan jenazah di hospital diurus oleh pihak hospital dan kakitangan Jabatan Agama Islam negeri.

Mengikut hukum syarak orang yang masih hidup bertanggungjawab menguruskan jenazah dengan baik termasuk memenuhi apa yang wajib dan sunat ketika menguruskan jenazah, seperti sabda Rasulullah bermaksud "Apabila seseorang dari kamu mengkafankan mayat saudaranya (yang sesama Islam) hendaklah ia mengkafankan dengan cara yang baik (sempurna)" (Riwayat Muslim).

Namun pada masa ini banyak syarikat swasta milik orang Islam dan bukan Islam menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah. Kebiasaannya, disempurnakan mengikut amalan agama masing-masing.

Cuma, dalam kes anda, kemungkinan ada silap faham atau salah maklumat yang mana ia tidak sempat dipantau oleh pihak hospital atau pihak berkuasa agama.

Justeru, waris hendaklah berhati-hati memilih syarikat pengurusan jenazah swasta dan perlu mengetahui serba sedikit cara dan pakej perkhidmatan yang ditawar-kan.

Dinasihatkan juga agar mendapatkan khidmat nasihat dari pihak hospital bagi proses dan prosedur menguruskan jenazah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan sebagainya.

No comments: