Wednesday, March 4, 2009

Peguam Syarie Menulis: Perlembagaan memartabat Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org

Syor wujud unit khas dengan pegawai kuat kuasa enakmen

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang sudah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal serta menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.

Isu itu sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.

Namun, seolah-olah tidak ada tindakan termasuk di Wilayah Persekutuan kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan.

Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang itu sehinggalah baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan di Parlimen menegaskan bahawa kerajaan sudah bersedia menggubal Akta Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Kenyataan tegas itu mendapat sokongan badan bukan kerajaan (NGO) Islam arus perdana dan diharapkan menteri berkenaan mengotakan janjinya itu.

Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada masa ini, semua negeri beraja seperti Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu, selain Melaka sudah melaksanakan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing. Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada 1981 dan paling akhir ialah Johor pada 1991.

Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.

Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.

Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang beragama Islam.

Selain itu, apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan. Kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan saja masyarakat umum kurang mengetahuinya, malah di kalangan penguat kuasa sendiri tidak begitu arif mengenainya.

Ia kerana penguat kuasa enakmen bukan penguat kuasa agama tetapi polis kerana ia membabitkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam. Sehubungan itu, penulis mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.

Melihat perkembangan kebelakangan ini, apabila banyak isu menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak. Namun, perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap mengikut enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.

Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada perkembangan sama, penulis menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang sudah meningkatkan hukuman dalam enakmen berkenaan. Pindaan dibuat pada 1998 membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama berbanding negeri lain.

Melihat senario politik masa kini, Rang Undang-Undang itu mungkin melalui jalan mudah jika dibentangkan di Parlimen kerana ia akan dibentangkan kerajaan sendiri, manakala wakil rakyat Pas diharapkan tidak akan menentang Rang Undang-Undang berkenaan.

Wakil rakyat PKR pula yang sebahagiannya juga adalah orang Islam termasuk Zulkifli Noordin yang bertanyakan secara khusus berkaitan akta ini sudah tentu tidak akan menyanggahnya. Cuma tinggal wakil rakyat DAP yang mungkin tidak dapat menerima hakikat itu.

Apapun, di kebanyakan negeri, adalah menjadi kesalahan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam termasuk mengguna kalimah tertentu seperti Allah, Baitullah, Kaabah, solat dan lain-lain lagi.

Negara baru-baru ini digemparkan dengan perintah dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membenarkan penggunaan kalimah itu dengan syarat tertentu. Namun selepas didesak, menteri berkenaan meneliti semula dan mendapati terdapat kesilapan dalam pewartaan perintah itu.

Umat Islam arus perdana menarik nafas lega dengan keputusan menteri berkenaan dan mengingatkan supaya lebih berhati-hati apabila membuat keputusan mengenai Islam.

Penulis mendesak supaya tindakan segera diambil kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Tidak perlu ditunggu sehingga keputusan kes kalimah Allah diputuskan oleh mahkamah kerana sudah wujud kesalahan berkaitan perkara itu.

Menteri Dalam Negeri sepatutnya mengambil langkah proaktif membaiki kesilapannya dengan mengarahkan pelaksanaan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam itu dimantapkan dan dilaksanakan dengan berkesan.

Selesai isu pewartaan Menteri Dalam Negeri, timbul pula laporan yang memetik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyarankan supaya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Jika benar seperti apa yang dilaporkan, kenyataan itu sebenarnya terkeliru antara nas al-Quran dan realiti perundangan negara. Ia juga nampaknya tidak mengambil kira faktor maslahah dan tujuan kenapa orang bukan Islam begitu beriya-iya ingin menggunakan kalimah itu.

Malah, mereka tidak akan berhenti menggunakan kalimah Allah saja, mereka sudah pun meminta menggunakan perkataan lain seperti Baitullah, Kaabah dan solat. Kenyataan itu juga tidak bersandarkan kepada sejarah bahawa Kelantan antara negeri yang awal menggubal Enakmen Kawalan Agama melarang penggunaan perkataan Allah di kalangan orang bukan Islam.

Apatah lagi pada 2007, Dewan Undangan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar sendiri meluluskan Rang Undang-Undang meningkatkan hukuman dalam enakmen sama. Bagaimana pula sekarang Menteri Besar menyokong orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Kedudukan Islam mestilah dipelihara. Islam bukan hanya simbol negara malah adalah agama bagi negara. Sudah tentu sebagai agama bagi negara, Islam menikmati kedudukan istimewa berbanding agama lain tetapi pada masa sama tidak memaksa orang bukan Islam menganut Islam.

Tiada sekatan bagi penganut agama lain menganut dan mengamalkan agamanya dengan aman dan harmoni. Namun, penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam tidak boleh dilakukan kerana kerangka Perlembagaan Persekutuan memperincikan perkara sedemikian. Inilah hakikat yang perlu diterima setiap rakyat yang menjunjung Perlembagaan.

Malah, sumpah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan timbalan baginda juga adalah mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa. Adalah tidak masuk akal Ketua Negara berikrar mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa sedangkan kerajaan baginda tidak patuh kepada ikrar itu.

Sudah sampai masanya kita melihat semula kerangka Perlembagaan Persekutuan daripada lensa berbeza supaya Islam itu dapat dimartabatkan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari www.peguamsyarie.org

No comments: