ZAMAN kebangkitan semula Islam hanya dapat menjadi kenyataan jika umat Islam menjadikan Rasulullah SAW dan sahabat sebagai contoh dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Pada zaman permulaan Islam, ketika pengikut Nabi Muhammad SAW sedang menghadapi penganiayaan luar biasa, Allah menurunkan khabar suka mengenai kemenangan Islam.
Musuh Islam yang mendengar wahyu itu mentertawakannya kerana pada pandangan mereka umat Islam tidak memiliki apa-apa kekuatan. Akhirnya mereka sendiri kehairanan dan bungkam apabila melihat betapa sempurnanya janji Allah kepada umat Islam.
Umat Islam menamatkan zaman jahiliah dan memulakan zaman baru penuh keberkatan di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Mereka memperoleh kemenangan dan kejayaan bukan disebabkan kekuatan senjata tetapi keteguhan iman tetapi kepatuhan kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW.
Kekuatan itu yang membolehkan mereka menghadapi penganiayaan, penentangan, kekerasan dan peperangan dilakukan musuh Islam dan akhirnya mereka bukan saja mengalahkan orang Musyrikin Makkah, malah turut menundukkan dua kuasa iaitu Rom Timur dan Parsi.
Peristiwa itu akan berulang lagi kerana al-Quran memberikan gambaran kebanyakan kisah di dalamnya akan mengalami pengulangan. Semua pihak merasakan umat Islam tidak boleh bangkit lagi tetapi Allah memiliki perancangan suci dan Dia berjanji untuk mengunggulkan Islam ke atas agama lain.
Allah tidak akan membiarkan raksasa kuasa besar untuk berterusan menyesatkan dan mendatangkan kerosakan kepada dunia. Allah sudah beberapa kali menggoncangkan sistem ekonomi mereka dan mendatangkan dua azab yang besar melalui Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945).
Berdasarkan peristiwa itu, Allah mudah untuk membantu umat Islam mengalahkan kuasa raksasa dunia tetapi umat Islam mesti terlebih dulu berusaha untuk memperbaiki kecintaannya kepada Allah dengan mengikuti pesan dan nasihat suci Baginda SAW.
Allah memberi jaminan kepada umat manusia jika mereka ingin dicintai oleh-Nya, tiada lain kecuali mengikuti langkah kehidupan dan akhlak Baginda SAW.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment