Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Dana diagih secara sistematik hapus kemiskinan sekali gus mantapkan ekonomi negara
PANDUAN kepada hala tuju pelaksanaan zakat perlu terlebih dulu memahami asas falsafah zakat yang akan mempengaruhi bagaimana pelaksanaan zakat dapat dihayati secara sempurna dan berkesan dengan perubahan keadaan serta budaya hidup masyarakat.
Tanpa asas itu, pelaksanaan zakat akan bercorak teknikal dan mekanikal (tanpa hikmah). Al-Quran hakikatnya adalah falsafah hidup dikurniakan Allah untuk merancang sistem hidup manusia supaya tegak di atas landasan takwa yang menjamin kebahagiaan mereka.
Allah berfirman bermaksud: "Mereka yang kami kurniakan kitab, mereka mengikuti pengajaran dengan sebenar-benar ikutan, mereka itulah yang sanggup beriman dengannya." (Surah al-Baqarah, ayat 121). Tujuan utama diturunkan al-Quran ialah menegakkan keadilan dan memupuk semangat kasih sayang dalam semua bidang kehidupan manusia. Melalui panduan al-Quran, usaha yang bersungguh perlu dilaksanakan untuk mendidik individu dan menyusun masyarakat agar wujud peradaban mulia. Keagungan Islam berkait rapat dengan pelaksanaan sempurna Rukun Islam yang lima dalam kehidupan masyarakat. Semua rukun itu perlu dirangkumi secara syumul dalam menyusun pembangunan masyarakat.
Daripada Ibnu Umar katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dasar Islam itu ada lima perkara: mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu Rasul Allah; menegakkan solat (sembahyang); membayar zakat; menunaikan ibadah haji; dan puasa bulan Ramadan."
Mengikut panduan al-Quran, ada 82 ayat berbeza tetapi mempunyai maksud sama seperti dalam surah al-Nur ayat 37, al-Baqarah (177) dan al-Baqarah (277) iaitu, "Dan hendaklah mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat."
Kedudukan dan peranan zakat seperti terkandung dalam al-Quran adalah penting. Justeru, ilmuwan Muslim perlu memahami dan mengambil prinsip utama dalam al-Quran untuk dijadikan garis panduan melaksanakan zakat dalam menyusun masyarakat Islam setempat dan semasa.
Jika diperincikan ayat al-Quran, Allah menentukan golongan individu yang diwajibkan zakat: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)." (Surah al-Taubat: 103)
Diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menfardukan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta mereka, diambil daripada orang kaya dan diberi kepada kalangan orang fakir."
Pada golongan pemerintah, Allah dalam firman yang bermaksud: "Mereka (umat Islam) jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat serta mereka menyeru berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar." (Surah al-Hajj, ayat 41)
Al-Quran juga menyenaraikan golongan penerima zakat dengan firman yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir dan miskin dan amil dan orang muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba yang hendak memerdekakan dan orang berhutang dan untuk jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan." (Surah al-Taubah, ayat 60)
Pada peringkat individu beberapa manfaat berikut diperoleh:
l Membersih jiwa daripada sifat bakhil, kedekut dan rakus yang seterusnya menjana individu kepada amalan sedekah dan wakaf. Amalan itu menjurus kepada keadilan masyarakat tercapai.
l Menanam semangat tanggungjawab kepada individu terhadap kepahitan kehidupan golongan daif. Memupuk budaya kasih sayang dan membangun masyarakat secara muafakat dan bersama.
l Berusaha semoga penerima menjadi pembayar zakat. Pencapaian itu membolehkan individu berada di atas garis kemiskinan dan dapat berperanan dalam kehidupan pada tahap yang terbaik.
Melalui pelaksanaan zakat, semangatnya akan menjadi panduan kepada pemerintah dalam menggubal dasar fiskal negara. Dasar ini dan kewangan yang mantap, akan menghala kepada kestabilan ekonomi, pengaliran harta secara teratur dan berkesan akan tercapai.
Kejayaan itu membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi mapan. Disamping itu kerajaan akan dapat meningkat jumlah tabungan dan pelaburan dalam ekonomi. Ia juga akan meningkat paras keseluruhan kepenggunaan negara hasil daripada kemantapan prestasi ekonomi yang disertai dengan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan.
Dalam suasana semasa, tumpuan paling penting ialah kepada wujud sistem pengagihan dana zakat yang berkesan. Ruang untuk menambah baik dalam perkara ini perlu diberi tumpuan bersungguh-sungguh.
Cadangan yang boleh difikirkan ialah menaik taraf peranan masjid sebagai institusi terpenting secara syumul kepada keperluan penduduk setempat.
Fungsi utama masjid sebagai pusat kehidupan masyarakat berperanan meningkat kefahaman dan penghayatan agama melalui program pendidikan, bertanggungjawab kepada wujudnya sistem pungutan dan pengagihan zakat di setiap kariah. Masjid juga mengendali urusan wakaf untuk kebajikan dan kemajuan kariah serta membantu masyarakat setempat dalam hal kebajikan. Zakat perlu menjadi asas terpenting dalam penggubalan dasar fiskal negara kerana boleh mempengaruhi penyusunan ekonomi negara.
Kesan zakat kepada ekonomi negara jika ia menjadi panduan penggubalan dasar fiskal dapat mempengaruhi dalam sistem pungutan hasil negara, sistem pembiayaan negara, membasmi kemiskinan, mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan di kalangan individu dalam masyarakat, memantap keseluruhan tabungan dan paras kepenggunaan individu, mengurangkan ketirisan dalam aliran pendapatan dan perbelanjaan.
Jika langkah jangka panjang menjadi kenyataan, kesan zakat kepada pembinaan sahsiah individu dan penyusunan masyarakat akan tercapai. Seterusnya ia menghasilkan peradaban mulia. Begitulah besarnya peranan zakat sebagai salah satu daripada lima Rukun Islam.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment