Tuesday, March 31, 2009

Tajdid Iman: Nikmat, azab iringi kemenangan

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com


PEMIMPIN wajar memastikan pengikutnya memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. - Gambar hiasan


Peranan utama tegakkan kebenaran kerana mereka khalifah di muka bumi

SETIAP pemimpin adalah khalifah Allah di muka bumi. Peranannya hanya satu iaitu menegakkan setiap kalimah titah perintah Allah serta menebas setiap kejahatan yang tumbuh menjalar di hati pengikut dan kaumnya.

Kekuatan dan kelemahan seorang pemimpin berkait rapat dengan hubungan peribadinya kepada Allah. Seperti ditentukan ke atas Nabi SAW, sejak daripada kandungan lagi Baginda sudah dipersiapkan oleh-Nya untuk memikul tugas berat ini.

Itulah ketentuan yang tidak dapat ditolak jika Dia menghendaki dan tidak dapat direbut jika Dia tidak berkenan. Bagaimanakah Allah mempersiapkan Baginda SAW untuk menjadi orang yang amat berpengaruh sejak dilahirkan dan abadi keharuman sejarah hidupnya hingga akhir zaman.

Sewajarnya ini diketahui supaya kita yang berdiri pada zaman ini dan memikul satu misi kepemimpinan tidak akan lari daripada matlamat asal kita dipilih dalam apa juga bidang yang diceburi.

Sebagai ahli perniagaan yang mengetuai ribuan pekerja atau ahli politik yang memimpin sesebuah negara, bahkan ahli jawatankuasa masjid pun mesti menyediakan diri untuk tugas berat yang diamanahkan Allah.

Hinggakan sebagai ketua rumah tangga yang menjaga anak, isteri dan keluarga hendaklah bersedia memimpin diri sendiri terlebih dulu ke jalan Allah dan memohon petunjuk-Nya supaya tidaklah ia membawa pengikutnya itu ke jalan yang berbahaya lagi membinasakan.

Antara persediaan yang ditentukan Allah untuk menguatkan jati diri Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat ialah:

# Latihan keperitan hidup yang menguatkan keperibadian.

Sejarah hidup Rasulullah SAW merakamkan keperitan dan penderitaan tidak akan sanggup dipikul manusia biasa. Allah menceritakan dalam firman bermaksud: "Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu dia melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan." (Surah al-Dhuha, ayat 6-8)

Kesusahan hidup dialami Rasulullah SAW ketika kecil adalah didikan dan tarbiah Allah ke atasnya supaya terbentuk sahsiah kuat demi menghadapi ujian lebih mencabar pada masa depan. Boleh dikatakan hidup yang dijalani Rasulullah SAW tidak pernah sepi daripada penderitaan.

Kekejaman itu bermula sejak diangkat Baginda menjadi Rasul. Bukan setakat penghinaan, provokasi, tipu daya jahat, fitnah dan cubaan bunuh terhadap diri Rasulullah SAW bahkan selepas semua itu tidak mampu menghentikan dakwah Baginda maka dilancarkan penyeksaan dan pembunuhan terhadap orang dikasihi Rasulullah SAW untuk menjejaskan moral Baginda SAW.

Selepas ancaman dan seksaan tidak mampu menghentikan langkah pemimpin kaum muslimin ini, maka rundingan damai pula ditawarkan untuk memujuk hati Baginda SAW. Jika Muhammad SAW inginkan rasuah harta mereka bersedia memberi seberapa banyak diminta, jika Muhammad SAW mahukan rasuah takhta dengan senang hati mereka akur, jika Muhammad SAW inginkan rasuah wanita, maka pasti akan dicarikan wanita paling cantik lagi menawan.

Semua itu ditolak serta-merta dan dengan tegas ungkapan dilaungkan: "Jika ditawarkan bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku, maka demi Allah aku tidak akan meninggalkan dakwah ini sehingga Allah menentukan keputusan-Nya."

Ramai orang yang kuat iman ketika dia miskin lagi susah tetapi rebah saat kekayaan melimpah. Sesungguhnya dunia yang direbutkan itu tidak lebih umpama bangkai seekor anak kambing yang direbutkan sekumpulan lalat pada pandangan orang mukmin.

Jiwa seorang pemimpin tidak mungkin dibeli oleh apapun, tidak pernah terancam oleh siapapun dan tidak akan roboh oleh bagaimanapun cara dan kaedah serangan kerana jiwanya berada dalam genggaman Tuhannya.

Apakah rahsia pemimpin berkaliber seperti Rasulullah SAW yang memerlukan masa 30 tahun saja selepas kewafatannya untuk membebaskan 22 negara hingga ke Cordova, Tajikistan dan Turkmenistan daripada kekufuran pada zamannya.

Landasan kepemimpinan Rasulullah SAW yang paling asas ialah setia kepada misi Tuhannya. Hendaklah setiap pemimpin meneliti untuk siapa dia bekerja dan bagaimana dia bergerak? Jawapan yang menjanjikan kejayaan setiap pemimpin adalah dia bekerja untuk Allah dan bergerak mengikut kehendak Allah. Dia tidak sesekali menderhaka kepada Allah untuk mencapai cita-cita duniawinya. Kerana perjuangannya adalah perjuangan akhirat.

Suatu hari Umar bin al-Khattab kelihatan begitu sedih. Rasulullah SAW bersabda: "Mengapa kamu, wahai Umar? Umar menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Kisra dan Kaisar, raja Parsi dan Rom musuh Allah itu bergelumang emas dan perak. Pakaian mereka dari sutera paling baik, sedang Engkau Ya Rasulullah, kekasih Allah hidup sebegini (Umar sedih melihat tikar kasar tempat tidur Rasulullah yang membekas pada tubuh Rasulullah). Rasulullah bersabda: Wahai Ibnul Khattab, masihkah kamu ragu, jika bagi mereka dunia dan bagi kita akhirat? Umar menjawab: Ya, aku reda." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Misi pemimpin ulung bukan setakat kejayaan dunia bahkan kemenangan di akhirat. Idealismenya tidak pernah bercanggah dengan tuntutan Allah walaupun lahir fahaman buatan manusia, tidak sesekali dia berani menandingi syariat Allah.

Pemimpin Muslim yang berjaya tunduk dan akur dengan ketentuan Allah dan Rasul-Nya dalam merancang strategi dan polisi kepemimpinannya kerana yang demikian itu termasuk tuntutan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (Surah al-Nisa, ayat 65)

Kalah dan menang bukan urusan manusia, Allah hanya menyuruh mereka berusaha dengan cara diredai-Nya dan membalas ganjaran atas usaha mereka itu tanpa Dia peduli siapa kalah dan siapa menang.

# Kemenangan lebih mendekatkan dirinya kepada Allah.

Ketika Rasulullah SAW memenangi pembukaan kota Makkah, Baginda menundukkan kepala sambil bertasbih dan beristighfar. Ketika kemenangan dicapai di akhir hayatnya, Rasulullah SAW bersabda di hadapan umatnya yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya aku akan berjumpa dengan Tuhanku dan aku akan menceritakan kepada-Nya mengenai sikap dan penerimaan kamu terhadap aku. Wahai sekalian manusia jika ada seorang daripada kamu yang pernah aku caci, aku herdik atau aku ambil hartanya maka segeralah menuntut qisas sekarang sebelum datang hari yang tidak akan berguna dirham dan dinar. Anas berkata: Aku memandang ke arah orang yang hadir, semuanya menundukkan kepala sambil menangis." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lihatlah, keperibadian seorang pemimpin yang memenangi lebih daripada 20 kali peperangan dan pernah melalui saat-saat genting cubaan bunuh sebanyak 11 kali mengikut ahli sirah. Pengalaman dalam perjuangan tidak sesekali mencetuskan rasa bongkak dan takbur melampaui batas.

Bahkan dia makan bersama hamba dan orang miskin di atas tanah, menemani seorang wanita tua berjalan memenuhi keperluannya di pasar sehingga wanita lemah itu bosan. Berkhidmat untuk umat sepanjang masa hingga turun ayat menegur umatnya jangan menyusahkan Nabi kerana Rasulullah SAW malu menolak sebarang permintaan.

Pada diri Rasulullah SAW selayaknya pemimpin dan seluruh umat bercermin diri. Kejayaan sepatutnya membuat kita semakin dekat kepada Allah, saat manis kemenangan itu hendaklah diiringi perasaan takut dan cemas adakah perjuangan dilakukan sesuai dengan kehendak-Nya?

Kemenangan mungkin suatu petanda bahawa nikmat itu turun kepada kita atau sebagai simbol azab-Nya akan datang selepas itu. Semua bergantung pada hati dan iman mereka yang menjadi pemimpin.

No comments: