Oleh Nik Salida Suhaila
Sifat tamak haloba meminggir hukum agama dalam melaksanakan urusan harian
SIFAT manusia sering pelupa, tentulah kita perlu sentiasa mengingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dan rintangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung oleh sesiapa, apatah lagi wang ringgit di depan mata.
Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti sudah tidak bererti, yang tinggal hanyalah janji bakal dimungkiri. Hari ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah.
Ia adalah satu contoh amalan berbentuk 'mata pencarian' tidak halal dan daripada sumber haram sama sekali. Malangnya, ia berlaku di mana-mana saja lantaran kurangnya keinsafan segelintir manusia mengenai akibat memakan sesuatu yang tidak baik dan tidak berjaga-jaga mengenai keselamatan dirinya di akhirat kelak.
Suruhan Allah supaya kita mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah iaitu perbuatan memberi sogokan kepada seseorang sama ada dalam bentuk wang ringgit, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lainnya untuk membolehkan sesuatu dihajati seseorang itu diperoleh adalah perbuatan dikeji Allah.
Mengambil harta orang lain dengan cara salah adalah perbuatan mengingkari perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Ia kerana perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' adalah sifat diwarisi daripada sifat syaitan, iaitu musuh kepada seluruh umat Islam di dunia. Implikasinya juga besar, iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Rasulullah SAW juga melaknat orang memberi dan menerima rasuah. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Daripada Abdillah bin Amru: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat At-Tarmizi)
Orang yang tidak bersyukur kepada Allah juga mudah mengikut jejak langkah syaitan durjana yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah contohnya adalah satu sifat tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Baqarah, ayat 172)
Satu-satunya tonggak boleh menghalang daripada berlakunya amalan rasuah dalam urusan harian adalah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa' al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi serta mengikuti akhlak Baginda.
Sikap amanah menjadikan kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat sebagai kepemimpinan paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah, sangat berkesan sebagai serampang dua mata kepada agama wahyu iaitu memimpin dan mendidik orang yang dipimpin.
Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat di bawah tadbirannya untuk mencontohi watak Baginda yang rendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmunya, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil tanah jajahannya tetapi satu dunia dan akhirat ini sempadannya.
Kepemimpinan yang cemerlang itu menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.
Rasulullah SAW pernah ditanya bagaimana caranya supaya Allah mudah memakbulkan doa hambanya. Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tabarani, "Daripada Saad bin Abi Waqas, ia berkata: Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya. Bersabda Rasulullah SAW: Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama 40 hari. Dan barang siapa yang daging dalam badannya tumbuh daripada yang haram dan hasil riba, maka api neraka lebih layak baginya."
Seseorang pemimpin yang cemerlang dalam pentadbiran adalah paling amanah terhadap tanggungjawabnya dan tidak berkira mencurahkan bakti terhadap orang yang dipimpin. Kita boleh membayangkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai suami atau bapa yang amanah, ia pasti kuat bekerja untuk mencari rezeki halal untuk isteri dan anak.
Isteri atau ibu yang amanah, tidak berkeluh kesah menjalankan tugas rumah tangga serta mengandung, melahir dan membimbing setiap cahaya mata dengan baik, sementara anak yang amanah tidak akan memungkiri janji kepada ibu bapa untuk menjadi insan terbilang.
Realitinya, kita boleh lihat bagaimana sebuah kehidupan tidak lagi sarat dengan sifat amanah, warganya pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam menuju masa hadapan cemerlang.
Daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan hari kiamat. Maka bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment