Sunday, March 1, 2009

Ulul Albab: Memperkasa pertanian atasi krisis makanan

Bersama Abdurrahman Haqqi


PERTANIAN menjadi tunggak kehidupan rakyat yang tidak boleh dipandang remeh walaupun di negara maju. - Gambar hiasan


Negara Islam patut saling membantu majukan sektor perladangan elak dihimpit kemiskinan

KHAMIS dan Jumaat lalu, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri D8 Mengenai Jaminan Makanan. D8 ialah kumpulan lapan negara Islam membangun dianggotai Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turki, Mesir dan Nigeria.

Dalam ucapan perasmian mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa anggota D8 meneroka kemungkinan saling memberi bantuan dan menggerakkan dana secara bersepadu serta efisien untuk menangani jaminan makanan.

Makanan tidak wujud jika tiada proses pertanian dan pertanian menjadi tunggak kehidupan manusia. Tidak ada pertanian, maka manusia tidak akan hidup walaupun mereka mempunyai kepemimpinan yang handal, rakyat yang patuh, harta melimpah ruah dan teknologi paling canggih kerana setiap pelaku daripada empat bidang ini memerlukan makanan untuk hidup.

Oleh kerana pertanian penting, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan seorang antara kalian ada bibit kurma, maka apabila dia mampu menanam sebelum terjadi kiamat, hendaklah dia menanamkannya." (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis lain disebutkan maksudnya: "Jika engkau mendengar Dajal keluar sedangkan kamu sedang menanam bibit kurma, maka jangan kamu tergesa-gesa memperbaikinya kerana masih ada kehidupan selepas itu bagi manusia." (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam kedua-dua hadis ini tersimpan pesan cukup mendalam agar seseorang memanfaatkan hidupnya untuk menanam sesuatu yang dapat dinikmati oleh orang selepasnya hingga pahalanya mengalir sampai hari kiamat. Ia juga mengingatkan kita pentingnya bertani dalam pandangan Islam.

Ramai pengamat (pengawas) antarabangsa berpendapat krisis makanan global adalah malapetaka buatan manusia. Krisis terjadi kerana sektor pertanian di negara membangun dihancurkan melalui rejim perdagangan global demi kepentingan segelintir pelaku besar daripada negara maju untuk menciptakan kebergantungan import makanan.

Bank Dunia dalam laporan World Development Report berjudul Agriculture for Development mengungkapkan, sektor pertanian dan urban menderita kerana 20 tahun terakhir terabai dan hampir tidak ada dana mengalir untuk inovasi pengembangan dan teknologi. Peruntukan belanja kerajaan untuk sektor pertanian (termasuk subsidi dan pengembangan) terus menyusut.

Di tengah ketiadaan kepemimpinan global dalam mengatasi krisis makanan kini, penyelesaian kembali ke pertanian mungkin paling nyata untuk dilakukan.

Apa yang terjadi di Afrika dan sejumlah negara Asia pada 1970-an hingga 1990-an bukti bahawa multilateral seperti Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang selama ini didakwa lebih banyak mewakili kepentingan negara maju, menjadi bahagian kekuatan globalisasi yang menghancurkan sistem jaminan makanan negara membangun.

Contohnya, Haiti yang menjadikan padi tanaman makanan tradisional sejak berabad lalu sehingga 20 tahun lalu, petani negara ini masih menghasilkan kira-kira 170,000 tan beras setahun. Ia untuk menutupi 95 peratus penggunaan barang (pertanian) domestik. Walaupun tidak mendapat subsidi kerajaan, perjalanan mereka ke pasar domestik mendapat perlindungan dengan adanya tarif import yang menghambat kemasukan beras dari luar.

Syarat berubah pada 1995 ketika kesulitan ekonomi memaksa kerajaan masuk dalam perangkap IMF. Untuk mendapatkan kecairan hutang , IMF mensyaratkan Haiti memotong tarif import beras daripada 35 peratus kepada tiga peratus. Hasilnya boleh diduga, beras dari Amerika Syarikat segera membanjiri pasar tempatan pada harga separuh daripada harga beras tempatan.

Ribuan petani kehilangan mata pencarian kerana tidak boleh bersaing dengan beras Amerika. Kini, 75 peratus beras yang digunakan Haiti adalah beras import Amerika. (Lihat Sri Hartati Samhadi (2008), Pertanian Negara Berkembang Dihancurkan Oleh Rejim Perdagangan Global)

James Petras (2007) dalam artikelnya bertajuk Strategies of Struggle The Centrality of Peasant Movements in Latin America menulis:

"Selama lebih satu abad, penganalisis sama ada daripada kelompok kiri mahupun kanan, berpendapat hilangnya kekuatan gerakan tani selari perkembangan kapitalisme. Bahkan, sehingga kini beberapa penulis kelompok kiri terkemuka seperti Eric Hobsbawn, menulis mengenai petani yang semakin berkurangan berdasarkan kesimpulan data kuantitatif perkembangan jumlah penduduk.

"Dalam bidang politik, terutama kalangan neoliberal kanan seperti Presiden Brazil, Ignacio 'Lula' Da Silva dan menteri pertaniannya, bertindak bijak apabila menyediakan sumber daya seluas-luasnya kepada sektor pertanian berorientasi eksport, merosak sistem ekologi, mengabaikan hak asasi manusia dan menempatkan petani kecil serta buruh tani tidak bertanah pada keutamaan terendah.

"Menghadapi kenyataan mengenai kesepakatan antara ahli akademik dan politik ini, petani menolak untuk direndahkan atau dianggap hanya memainkan peranan pinggiran. Di tengah kejatuhan peratusan perkampungan, kaum tani, selepas lebih 20 tahun kembali bangkit sebagai aktor sejarah untuk memainkan peranan pusat dalam perubahan rejim, menentukan agenda nasional, memimpin perjuangan menentang perjanjian perdagangan antarabangsa dengan mendirikan kekuasaan yang berasaskan tempatan dan serantau."

Kalangan pengamat mencatat semakin mengglobalisasi dan terpusatnya produk makanan global sejak 1970-an. Hari ini, perdagangan komoditi makanan pokok didominasi hanya segelintir pemain besar. Sekitar 80 peratus pasaran eksport gandum dikuasai hanya enam pemain. Hal sama terjadi pada 85 peratus pasaran eksport beras. Untuk jagung, 70 peratus pasaran eksport bahkan hanya dikendalikan tiga pemain. Ini membuat nasib negara termiskin yang harus mengimport makanan untuk boleh bertahan hidup berada di tangan segelintir koperasi.

Food & Water Watch mencatatkan, pertanian tanaman makanan di Afrika sejak WTO efektif terbentuk terus menyusut. Sebaliknya, keluasan tanah untuk tanaman komersial seperti kopi, koko, tebu, kapas, tembakau dan teh meningkat pesat.

Presiden Venezuela menggambarkan krisis makanan dewasa ini sebagai bukti nyata kegagalan model kapitalisme global. Bekas analisis pemerintahan federal Amerika, Richard Cook, dalam tulisan Crisis in Food Prices Threatens Worldwide Starvation: Is It Genocide, berpendapat seperti juga pendapat Bank Dunia kini saatnya kembali ke sawah. Dalam kaitan ini, beliau menekankan pentingnya dukungan kebijakan penuh daripada pemerintah, mulai kredit mudah, jaminan harga, layanan yang terjangkau, kebijakan cukai yang mendukung dan hingga yang ekstrem: gerakan nasional untuk mengonsumsi produk dalam negeri.

Itulah realiti yang kita hadapi masa kini, oleh itu perjumpaan bernas di kalangan negara Islam perlu ditingkatkan lagi demi mencari jalan untuk terus mensejahterakan umat Islam di dunia di samping persiapan menuju kesejahteraan di akhirat kelak. Wallahu a'lam.

No comments: