Oleh Mohd Kamel bin Mat Salleh
Kelemahan iman dan fizikal menyebabkan kekalahan serta kegagalan mencapai cita-cita
PEMBENTUKAN ummah terbaik dan terbilang sebenarnya berpunca daripada kekuatan luaran dan dalaman atau dengan ungkapan lebih jelas, kekuatan dan kejernihan rohani serta jasmani yang berdiri seiring saling seimbang tanpa memberatkan satu unsur dengan mengetepikan unsur lain.
Keseimbangan inilah yang menjadi tonggak asas dan tunjang kecemerlangan umat Islam sejak detik awal penyebaran Islam di zaman Rasulullah sehinggalah ke zaman ini. Itulah yang menjadi prinsip utama keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam.
Justeru, tamadun Islam gemilang, sebenarnya diasaskan atas dasar akidah, iaitu suatu nilai kerohanian tertinggi. Ia diperkuatkan dengan unsur syariah yang menjadi tulang belakang kekuatan jasmani sehingga Islam utuh di Semenanjung Tanah Arab melangkaui sempadan dunia dan ufuk benua.
Kejernihan dan kemurnian rohani merujuk kepada kebersihan hati dan kesucian jiwa yang menjadi tumpuan utama pandangan Allah terhadap hamba-Nya. Dalam sebuah hadis dinyatakan Nabi Muhammad bersabda daripada Abu Hurairah bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.WT tidak memandang kepada jisim dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim).
Rohani ibarat raja dalam diri manusia akan menentukan baik atau buruknya individu. Hadis keenam dalam himpunan Hadis 40 susunan Imam al-Nawawi ada menyatakan daripada Abi Abdullah al-Nu'man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah bersabda maksudnya "Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging itu akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dua petikan hadis ini menggambarkan betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam mengembangkan tanggungjawabnya membina peradaban dunia. Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani. Seumpama orang yang ingin mengerjakan solat, mesti memastikan tempat solat dan pakai bersih, tetapi terlebih dulu untuk menghadap Ilahi, persoalan rohani mestilah terlebih dulu di suci.
Jika pakaian terkena najis, ia dianggap tercemar, begitu juga jika rohani penuh dengan dosa dan maksiat, solat didirikan seolah-olah tiada makna. Apabila pakaian yang kotor mudah dibersihkannya, tetapi adakah ramai di kalangan manusia memikirkan bagaimana hendak membersihkan rohaninya yang kotor?
Allah mahu manusia mengingati-Nya supaya kemurnian rohani dapat dipertingkatkan semaksimum mungkin dalam menggalas amanah mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah bermaksud "Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu akan memberi ketenangan kepada hati" (Surah al-Ra'd ayat 28).
Allah SWT juga menjamin pulangan yang baik di sisi-Nya kepada individu yang sentiasa berusaha membersihkan rohaninya melalui ayat suci al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya" (Surah al-Syams ayat 9-10).
Dalam membangunkan modal insan bagi membentuk sebuah umat terbaik dan gemilang, kecemerlangan tidak hanya terhenti kepada kejernihan rohani semata-mata tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan jasmani, kerana ummah yang unggul tidak akan dapat dibina oleh mereka yang lemah fizikal serta kurang daya ketahanan diri.
Faktor kejayaan hadharah silam sejak zaman Rasulullah didokong kuat oleh generasi Muslim yang kental, hebat dan gagah perkasa fizikalnya di samping kekuatan rohani yang utuh dalam diri. Dengan sebab itulah ada banyak pernyataan Baginda yang menekankan kepada kekuatan lahiriah sewajarnya perlu ada pada setiap individu Muslim.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan kuat dimaksudkan dalam hadis ini ialah kuat badan dan jiwa. Kekuatan inilah yang dapat dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk ibadah seperti haji, puasa, amar makruf dan nahi mungkar, sedang orang yang lemah tiada mampu untuk melaksanakannya.
Bagaimana mungkin orang lemah mampu untuk memikul satu tanggungjawab berat terutama dalam zaman yang memerlukan pelbagai kepakaran dan kemahiran ikhtisas. Justeru, tidak hairanlah pemilihan Nabi Musa sebagai pekerja Nabi Syuaib kerana faktor kekuatan jasmani yang ada pada baginda.
Hal ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firman-Nya daripada nukilan kata-kata anak perempuan Nabi Syuaib bermaksud "Wahai ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (kepada kita) kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dipercayai" (Surah al-Qasas ayat 26).
Paparan sejarah silam menjadi contoh teladan kepada manusia kini dalam mengambil model insan yang disifatkan mempunyai keberanian dan kekuatan jasmani. Sebagai contoh Nabi Daud yang terkenal dengan kehebatannya melunturkan besi waja yang keras.
Rasulullah sendiri adalah insan hebat yang mempunyai kemurnian rohani dan kekuatan jasmani. Sama ada mampu Baginda bertindak sebagai pemimpin orang Islam pada zamannya dan pada masa sama baginda bertindak sebagai ketua angkatan tentera, hakim pemutus segala permasalahan rakyat, tokoh guru dan pendidik terulung, bapa dan suami mithali, imam yang mengetuai solat jemaah dan perancang ekonomi negara jika tidak punyai kekuatan fizikal dan mental.
Seorang sahabat bernama al-Barra' menceritakan "Bahawasanya Rasulullah ketika di medan peperangan, amatlah gagah perkasa, keberaniannya sehingga Baginda adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan musuhnya". Justeru, apabila turunnya ayat Allah yang memerintahkan kaum Muslimin berjihad, maka Rasulullah dengan segera akan memberi semangat kepada sahabat supaya segera bangun dan bingkas menyahut cabaran dengan penuh keberanian.
Pengabaian salah satu unsur sama ada rohani mahupun jasmani adalah faktor yang menyebabkan kegagalan dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Peristiwa dalam Perang Badar dan Uhud harus menjadi iktibar, dengan semangat kekuatan rohani dan jasmani, umat Islam mendapat kejayaan. Begitu juga sebaliknya kelemahan iman dan fizikal boleh menyebabkan kekalahan dan kegagalan dalam mencapai cita-cita.
Kesepaduan inilah sebenarnya yang akhirnya menghasilkan keredaan dan pahala daripada Allah.
Memetik idea dikupas al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya "Unsur Kekuatan Dalam Islam", beliau menyenaraikan gandingan kesucian rohani dan kekuatan fizikal mestilah ada dan ia dianggap sebagai syarat kemenangan umat Islam dulu, kini dan selamanya. Kemurnian dan kekuatan itu juga datang dari sudut akidah, akhlak, ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan jihad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment