Thursday, March 12, 2009

Umat Islam perlu ketepi sengketa demi memelihara kesucian agama

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila79@yahoo.com

Keseimbangan ilmu dunia, akhirat beri kekuatan menangani dakyah musuh

MENGINGATI kelahiran Rasulullah SAW bermakna menghargai keputeraan Baginda SAW diutuskan ke dunia bukan sebagai manusia biasa tetapi yang maksum, bertujuan memberi sinar kepada seluruh manusia yang hidup tanpa pedoman dan hala tuju.

Tiada lagi yang sepertinya sesudah itu, yang ada hanya saki-baki pengikut ad-din yang Baginda teruskan daripada Nabi Allah terdahulu.

Melewati kehidupan penuh tanda tanya inilah manusia sering kali terpesong daripada landasan disediakan oleh Baginda SAW, sama ada sengaja ataupun tidak. Alangkah indah jika umat Islam yang masih tinggal tetap mempertahankan jalan lurus yang dibentuk dengan penuh tertib dan dibantu wahyu Ilahi, tanpa ada cacat celanya.

Bukan mudah untuk Rasulullah SAW menjadi seorang kekasih. Pancaroba dan cabaran hidup tetap menguji Baginda di mana-mana, bahkan kesukaran yang dilalui tidak akan mampu ditanggung orang lain. Sebab itulah pelantikan Baginda sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam dirancang dengan sebegitu rapi oleh Yang Maha Pencipta.

Dalam kegetiran hari ini, di kala umat Islam berpecah kerana kuasa, kita terlupa untuk kembali menyusuri sirahnya. Mujur tarikh keputeraan datang lagi seperti tahun sebelumnya, yang boleh mengingatkan kita kepada Baginda.

Begitu juga agama Islam yang Baginda bawa adalah agama memimpin umatnya ke jalan kebenaran dan kebaikan, menyelamatkan kita daripada kehidupan kucar-kacir, memimpin kesepaduan, silaturahim dan persefahaman berserta akhlak yang indah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali-'Imraan, ayat 19)

Tidak ada apa yang boleh melawannya, kerana Allah tidak akan menerima sesiapa yang mencari agama selain agama Islam dan mereka tidak mengikat hatinya kepada agama Islam akan tergolong bersama orang yang rugi di akhirat kelak.

Kehadiran penentang umat Islam yang terang-terangan tidak senang dengan kebangkitan Islam hari ini jelas dapat dilihat melalui pencerobohan kuasa di negara Islam, penolakan pengamalan perundangan Islam, bahkan ada yang menjadi duri dalam daging, menghasut umat Islam supaya berbalah dan berpecah-belah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai Muhammad sehingga engkau menurut agama mereka yang sudah terpesong itu. Katakanlah kepada mereka, sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu mengenai kebenaran, maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Sesuai dengan hari memperingati keputeraan Baginda Rasulullah SAW, wajarlah umat Islam seluruh dunia menginsafi bahawa jumlah pengikut Nabi Muhammad SAW hari ini semakin merosot dan lemah kerana mereka kalah kepada tipu daya dunia serta bersekongkol dengan golongan menentang Islam dan pemimpin umat Islam.

Pelbagai cara digunakan untuk meramaikan penentang agama Islam, antaranya dengan mendampingi golongan Muslimin dalam kesusahan, sama ada kesempitan wang ringgit, ketandusan ilmu, kekontangan iman dan kejelekan amal, yang melata di mana-mana.

Dengan keprihatinan dan bantuan diberikan, golongan dalam kesusahan akan bergantung hidup dengan mereka yang sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengambil kira tujuan di sebaliknya.

Lantaran terhutang budi, apa saja boleh berlaku sehingga ada sanggup menggadaikan akidahnya demi sesuap nasi.

Dakyah ini, walaupun bertentangan dengan undang-undang, tetap juga dilakukan oleh mereka yang nekad menghapuskan umat Islam di muka bumi ini dan kesempatan diambil ketika umat Islam berbalah sesama sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan mereka orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu memalingkan kamu daripada agama kamu. Jika mereka sanggup melakukan yang demikian dan sesiapa di antara kamu yang murtad berpaling tadah daripada agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya." (Surah al-Baqarah, ayat 127)

Justeru, nilai negatif dalam perlakuan manusia hari ini, termasuklah di kalangan umat Islam perlu diberi perhatian serius supaya kekuatan negara, kemuliaan umat Islam dan ketinggian agama terus terjamin.

Pembentukan peribadi umat adalah satu tanggungjawab pemimpin yang memerintah. Sikap ganas, seperti jenayah yang dilakukan golongan remaja di sekolah mungkin bertitik tolak daripada masalah kewangan menuntut perhatian semua pihak yang bukan sedikit, bahkan memerlukan masa untuk mengembalikan contoh sikap anak muda sedikit waktu dulu yang tidak terdedah dengan pelbagai contoh tidak baik hari ini.

Di kala sistem pendidikan membentuk peribadi mulia melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah, kecanggihan teknologi juga memberikan 'ilmu' yang bukan sedikit kepada mereka yang masih belajar ini.

Akhirnya, nilai murni dan sikap negatif bercampur-baur menjadikan mereka keliru di mana letaknya sempadan baik dan buruk.

Ketegasan semua pihak khususnya ibu bapa memberikan didikan agama secara konsisten kepada anak serta ketegasan pemimpin mendidik rakyat penting untuk menanam dan memupuk peribadi mulia seperti model ikutan umat Islam, iaitu Rasulullah SAW.

Tidak ada kompromi terhadap kebebasan melampau serta tidak mendedahkan golongan yang masih mencari identiti seperti remaja kepada dunia yang menghanyutkan mereka memerlukan ketegasan daripada ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

Inilah masanya umat Islam perlu berubah, mencari identiti seimbang antara dunia dan akhirat, melakukan kebaikan demi agama, bukan yang lainnya serta menggunakan ilmu untuk berfikir, bukan mengikut kata hati yang akhirnya membinasakan semua.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

No comments: