Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
Perjuangan Baginda angkat martabat manusia sebagai khalifah di bumi perlu sentiasa diingat
MEMPERINGATI kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah usaha untuk mengikut dan menghayati contoh yang unggul dalam segenap aspek kehidupan supaya dapat diterjemahkan dalam suasana hari ini.
Sejarah manusia membuktikan Nabi Muhammad SAW seorang yang menghabiskan kehidupannya memerangi kekejaman dan memartabat manusia sebagai khalifah Allah. Baginda berjaya membawa perubahan rohani, sosial, ekonomi, politik dan kesusasteraan selama 23 tahun.
Risalah Muhammad mencetuskan transformasi yang lengkap untuk membebaskan manusia daripada belenggu perhambaan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah yang Maha Esa.
Ulama bersetuju bahawa menyambut Maulidur Rasul adalah harus, malah menurut Yusuf al-Qaradawi menjadi tuntutan kepada umat Islam kerana keadaan umat yang semakin jauh mengingati perjuangan nabi.
Melalui sambutan seperti ini, mudah-mudahan umat Islam terus mengingati perjuangan nabi dan mengambil pengajarannya. Menurutnya, kita menyambut Maulidur Rasul dengan mengingatkan sirah Baginda.
Pernah suatu ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa beliau berpuasa pada Isnin, lalu dijawab Baginda kerana hari itulah beliau dilahirkan. Oleh itu, memuliakan hari dan bulan kelahiran nabi sesuatu yang harus.
Ibn Taimiyah menyebutkan dalam bukunya al-Iqtida' al-sirat al-Mustaqim bahawa memuliakan nabi dan mengagungkan atas dasar kasih sayang bukan bidaah. Perkara yang dilarang apabila ia berpaling daripada ajaran agama.
Al-Quran menyifatkan orang mukmin mencintai Nabi Muhammad lebih daripada mencintai diri mereka dalam segala urusan. Firman Allah bermaksud: "Nabi itu hendaknya lebih utama bagi orang mukmin daripada diri mereka sendiri." (Surah al-ahzab, ayat 6)
Ahli tafsir menyebutkan ayat ini mengandungi dua makna iaitu orang mukmin amat mencintai Nabi Muhammad SAW lebih daripada dirinya sendiri dan Nabi Muhammad amat mencintai umatnya lebih daripada dirinya sendiri.
Rahmat Nabi Muhammad SAW juga dapat dilihat daripada peristiwa Rasulullah SAW amat mengasihani kanak-kanak kecil. Diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila tiba waktu solat ingin aku memanjangkan solat itu, aku mendengar tangisan kanak-kanak kecil, maka aku ringankan solat kerana khuatir mengganggu ketenteraman ibunya."
Pernah sahabat Rasulullah SAW, Aqra Habas al-Tamimi melihat Rasulullah mencium cucunya Hasan dan Husain, maka beliau berkata: Saya mempunyai 10 anak, tetapi tidak pernah menciumnya. Rasulullah melihatnya dan bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihani, maka ia tidak akan dikasihi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Nabi Muhammad SAW melarang kita membunuh binatang sewenang-wenangnya pada musim haji dan menyembelih binatang dengan pisau tajam supaya meringankan kesakitan ketika menyembelih. Ini menunjukkan kerahmatan nabi melebihi segalanya daripada apa yang dilaungkan oleh sesetengah orang sebagai golongan memperjuangkan hak asasi manusia.
Umat Islam dituntut mempertahankan Rasulullah SAW yang membawa cahaya rahmat kepada alam ini. Abu Sufian pada zaman jahiliah pernah berkata kepada Zaid Dasanah ketika beliau ditangkap oleh musyrikin Makkah.
Apakah perasaan kamu jika tempat ini digantikan dengan Muhammad bagi kami memotong leher engkau? Maka beliau menjawab: Demi Allah, aku tidak suka Muhammad berada di tempat ini untuk menerima penyeksaan kamu, aku lebih rela di tempat ini daripadanya.
Abu Sufian berkata: Aku tidak pernah melihat seorang manusia yang mengasihani seseorang seperti ditunjukkan sahabat Muhammad SAW.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment