Oleh Mohd Zamri Shafie
MASJID dan surau adalah pusat perhimpunan menyatupadukan umat Islam sama ada untuk beribadah mendekatkan diri kepada Allah SWT, pusat kecemerlangan keilmuan dan jalan terbaik mempererat hubungan silaturahim sesama umat Islam.
Inilah hakikat dibinanya masjid pertama Rasulullah SAW untuk membina kekuatan ketakwaan dan keimanan dalam jiwa sahabat bagi meninggikan syiar Islam. Selain itu, perlu diperbanyakkan aktiviti dan program pengimarahan supaya dapat menarik jemaah dan kelompok masyarakat.
Masjid atau surau yang diimarahkan akan membawa rahmat kepada umat Islam. Rasulullah SAW menerangkan kelebihan penduduk sesebuah kampung yang menghidupkan masjid dan suraunya dengan majlis ilmu serta aktiviti dakwah.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan mereka dilingkungi oleh malaikat (pembawa rahmat), dan turun kepada mereka semangat tenang tenteram, serta mereka diliputi oleh limpahan rahmat. Dan juga mereka dipuji oleh Allah dalam kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya." (Hadis riwayat Muslim)
Masjid bukan medan mencari kekuatan pengaruh, melobi pihak tertentu dengan tujuan mendapatkan pangkat dan nama, masjid bukan medan mencerca, menghina atau mengharapkan sokongan satu kelompok manusia bagi menjatuhkan satu kelompok yang lain.
Masjid bukan medan mengaibkan maruah seseorang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Masjid tidak wajar menjadi medan menyuburkan sifat munafik dalam diri individu mengaku dirinya Muslim dengan 'bermanis mulut' apabila bercakap di depan tetapi 'tikam belakang' terhadap Muslim lain.
Ciri kemunafikan bertambah jelas jika seseorang menggunakan kepetahan lidahnya berbicara dengan tujuan memburukkan orang lain dengan menambah setiap inci bait-bait percakapannya supaya masam, masin dan manis cukup dirasa.
Segala kesilapan diletak pada orang lain yang terhasil daripada perbuatan dirinya sendiri. Inilah realiti yang berlaku dan mainan percaturan manusia yang tiada hala tuju dalam perjuangan menegakkan Islam serta meletakkan kepentingan diri membaham semangat persaudaraan Islam.
Perkara ini hendaklah dielakkan daripada terus berlaku walaupun perbezaan pendapat sentiasa menghantui diri seseorang individu Muslim. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada seluruh umatnya memelihara lidah mereka.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang Islam dari lidahnya dan tangannya, dan seorang mukmin (yang sempurna imannya) ialah yang dipercayai oleh orang ramai (sebagai Muslim) yang bersikap aman damai dan amanah) terhadap keselamatan nyawa dan harta benda mereka." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan, dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulau sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) berpura-pura menawarkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain membelinya dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual lain; (janganlah kamu melakukan perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara; (Ingatlah!) Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain, janganlah seseorang Muslim menganiaya saudaranya itu, dan janganlah ia mengecewakannya semasa orang itu memerlukan pertolongan, dan janganlah ia memandang rendah kepada orang lain apatah lagi menghinanya; Sebenarnya takwa bertempat di sini (Baginda mengisyaratkan yang demikian dengan menunjukkan ke arah dadanya sebanyak tiga kali), kemudian Baginda menegaskan lagi, cukuplah (nyatanya) seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang jahil apabila ia memandang rendah atau menghinakan saudaranya yang sesama Islam; keseluruhan hak seseorang Muslim adalah haram atas seseorang Muslim yang lain (bertindak terhadapnya menurut cara yang tidak dibenarkan oleh syarak) iaitu darahnya (keselamatan nyawa dan tubuh badannya), harta bendanya dan kehormatannya." (Hadis sahih riwayat Muslim).
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (di antara orang munafik juga ialah) orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta." (Surah at-Taubah, ayat 107)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa antara sifat munafik ialah mencari jalan memecahbelahkan perpaduan orang beriman. Orang munafik sudah dihinggapi serta bersarang dalam hati mereka dengan penyakit syak dan hasad dengki.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)." (Surah al-Baqarah, ayat 10)
Penyakit yang menghinggapi diri seperti hasad dengki, mengadu domba, menghina mencerna seseorang dan sebagainya wajar dijauhi setiap Muslim yang mengaku beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat. Penyakit itu adalah ciri-ciri munafik yang boleh memusnahkan persaudaraan dan perpaduan Islam yang diikat dengan akidah mengesakan Allah SWT.
Perpaduan atau persaudaraan Islam mampu melembutkan jiwa seorang mukmin daripada sikap ego dan individualistik, jalan utama ke arah melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, simpulan ikatan kukuh sebagai perlindungan dan penghormatan terhadap hak individu Muslim supaya tidak diceroboh dan wadah ke arah meninggikan syiar Islam.
Hidup sebagai mukmin dibebani dengan tanggungjawab besar dalam memelihara kehormatan masjid sebagai tempat suci dan mulia yang diberi nama 'Baitullah' (rumah Allah SWT). Selain menjaga kebersihan dan kesuciannya, masjid perlu diimarahkan.
Mereka yang berjawatan dalam institusi masjid bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perjalanan pentadbirannya dan mereka akan diperhitung serta pasti disoal jawab di hadapan Allah SWT atas amanah itu.
Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang jawatan bertanggungjawab ke atas apa yang sudah diaturkan pentadbir dengan bekerjasama mengimarahkan masjid. Itulah nilai sebenar seorang mukmin yang harga dirinya di tempat mulia apabila melangkah ke masjid mencari reda dan rahmat-Nya.
Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu melihat seseorang rajin pergi ke masjid (atau ke surau), maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa ia (benar-benar) beriman kerana Allah berfirman: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment