Sunday, March 1, 2009

Persoalan Agama: Tiada halangan wanita bekerja jika dapat keizinan suami

Bersama Jakim

Soalan:

SAYA seorang wanita bekerjaya dan lazimnya perlu bergegas keluar pada waktu pagi dan pulang jauh malam berikutan jadual kerja yang padat serta sering ke luar daerah jika perlu. Terus terang, saya cuma sempat menyediakan makanan untuk keluarga pada sebelah pagi jika ada di rumah manakala bagi waktu lain, pembantu rumah saya yang mengambil alih peranan itu. Kadang-kadang saya terfikir, apakah perbuatan saya ini berdosa? Apakah saya dikira sebagai isteri derhaka? Untuk pengetahuan ustaz, suami saya tidak merungut kerana memahami tugas saya sebagai penyumbang utama kepada kewangan kami sekeluar-ga.

Hamba Allah
Ipoh,
Perak

Jawapan:

Kewajipan menuntut ilmu dan pengiktirafan terhadap wanita yang berilmu dan lelaki yang berilmu menunjukkan bahawa kemampuan untuk mengamalkan ilmu dalam kehidupan sehari-harian bagi kesejahteraan diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah digalakkan di dalam Islam.

Oleh itu, isteri boleh dan dibenarkan bekerja dengan beberapa syarat seperti mendapat keizinan suami, menjaga batas pergaulan dan menutup aurat. Sebaik-baiknya puan imbangi kesibukan tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Sekiranya suami bersetuju dengan apa yang puan lakukan maka puan tidak berdosa membiarkan sebahagian tugas dilakukan oleh pembantu rumah.

Jawapan disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

No comments: