MENJADI fardu kifayah kepada setiap Muslim menguruskan sumber alam sebaik mungkin. - Gambar hiasan
Pembaziran, tindakan musnah sumber perlu dihenti segera agar negara kekal makmur
AIR nikmat berharga dikurniakan Allah yang menjadi unsur penting diperlukan manusia dan seluruh jasad hidup. Tanpa air, bumi gersang dan tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup. Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon dan biji tumbuhan yang dikutip hasilnya." (Surah Qaf, ayat 9).
Dalam surah an-Nahl, ayat 10 hingga 11 Allah berfirman bermaksud: "Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya lagi (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menternak binatang ternakan. Dia (Allah) juga menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir."
Sumber air diperoleh secara semula jadi daripada hujan, sungai, tasik dan mata air. Biarpun diperoleh secara percuma, sumber air perlu diurus dengan baik bagi mengelak kesan buruk berkaitan dengannya.
Manusia mudah lupa jika tidak diturunkan bala. Masalah banjir kilat sering berlaku disebabkan gagal mengalir air hujan ke laut. Alur dan sungai banyak tersekat disebabkan proses pembangunan tidak mengambil kira laluan air apabila hujan.
Kita harus bersyukur dilimpahi rahmat dengan jumlah purata hujan yang banyak sepanjang tahun. Sumber air memberi kemakmuran dan kesenangan hidup kepada seluruh rakyat. Kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, pelancongan, kegunaan domestik dan perindustrian berjalan baik hasil sumber air mencukupi.
Bagaimanapun, segala nikmat itu mungkin ditarik Allah dengan pelbagai cara jika manusia tidak menghargai nikmat air. Jumlah hujan yang banyak tidak menjamin bekalan air mencukupi sepanjang tahun.
Peringatan Allah dalam surah al-Mukminun ayat 18 bermaksud: "Kami turunkan air hujan dari langit dengan sukatan tertentu serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya."
Semua pihak menanggung kerugian dan kesukaran apabila bekalan air berkurangan. Ketika itu masing-masing sedar betapa pentingnya air. Masalah kekurangan bekalan air bukan kebetulan, tetapi akibat perbuatan manusia sendiri.
Tindakan pemantauan berkaitan bekalan air dilakukan bersungguh-sungguh hanya ketika berlaku krisis bekalan air. Malangnya, masalah itu dilupai selepas dapat diatasi buat sementara. Ini memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan dan mengaut keuntungan. Mereka tidak takut didenda kerana mampu membayarnya.
Masalah berkaitan air bukan satu bencana alam semata-mata, malah peringatan disebabkan manusia tidak menunaikan amanah dan tanggungjawab.
Sikap tamak dan angkuh menjadikan manusia tidak rasa bersalah biarpun mengetahui perbuatan mendatangkan keburukan.
Allah menurunkan hujan sebagai anugerah kepada hamba-Nya. Oleh itu, kita wajib menghargai nikmat kurniaan itu. Jika nikmat itu tidak diendahkan, maka dibalas dengan azab yang pedih.
Manusia perlu menghargai air dengan melakukan usaha ke arah memelihara dan memulihara sumber air.
Perbuatan mendatangkan keburukan kepada sumber air perlu dihentikan. Penggunaan air juga perlu dikawal agar tidak berlaku pembaziran sumber. Sekiranya Allah menarik balik nikmat air, tiada siapa dapat mengatasi kekuasaan Allah untuk mengubah ketentuan-Nya.
Masalah berkaitan air adalah bala. Ia satu peringatan supaya kembali insaf dan tidak berterusan melakukan dosa.
Jika manusia tidak insaf dan tidak memperbetulkan kesalahan dilakukan, bala lebih besar ditimpa seperti diceritakan dalam al-Quran mengenai kehancuran menimpa kaum Saba akibat ingkar mematuhi perintah Allah.
Kaum Saba mendapat limpah kurnia melakukan kegiatan pertanian secara besar-besaran dengan ada bekalan air mencukupi. Negara Saba mendapat kemakmuran dan kehidupan mewah sehingga menjadi tumpuan penduduk dari kawasan sekitar.
Balasan berkaitan air tidak saja melalui banjir. Masalah kekurangan bekalan air, tanah runtuh, banjir lumpur, hakisan tanah dan penyakit bawaan air juga satu bentuk balasan. Kejadian itu disebabkan manusia melakukan perbuatan menyalahi hukum alam sehingga peranan air tidak terkawal.
Tanah runtuh berlaku disebabkan kemusnahan struktur semula jadi disebabkan kegiatan pembinaan bangunan, jalan raya dan penempatan yang dibuat di lereng atau atas bukit tanpa kawalan. Bukit yang menjadi paksi bumi mengalami perubahan ketara tidak mampu mengekalkan peranannya.
Masalah hakisan tanah mendatangkan kesan buruk biarpun berlaku perlahan. Kejadian hakisan menyebabkan air sungai dicemari kelodak dan unsur tidak larut. Sungai menjadi cetek dan mengganggu ekologi hidupan air.
Kegiatan pembalakan haram dan tidak terkawal sering mengganggu kawasan diwartakan tadahan hujan. Pokok ditebang sehingga kawasan hutan menjadi gondol. Keuntungan diperoleh pencuri balak, sedangkan orang ramai mengalami padahnya.
Kawasan hutan tadahan hujan yang dibersihkan tidak lagi menyimpan air. Simpanan air dalam tanah berkurangan dan mudah kering apabila musim kemarau. Loji air menghadapi kekurangan bekalan air sehingga tidak memenuhi keperluan domestik.
Kekurangan bekalan air dalam tanah juga menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak subur dan mati. Haba di kawasan meningkat dengan mendadak dan menyebabkan kebakaran hutan mudah berlaku yang mendatangkan kerugian besar kepada negara.
Manusia perlu mematuhi dan bertanggungjawab menjaga alam agar sumber utama tidak diganggu secara keterlaluan. Sifat melampaui batasan memang ditegah dalam semua hal. Kemusnahan dan kecelakaan mudah berlaku dalam keadaan melampaui batasan.
Soal pengurusan air adalah fardu kifayah yang perlu dipandang serius untuk kepentingan semua. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjamin kepentingan umum tidak dirosakkan.
Tindakan proaktif dan berterusan menjaga dan memulihara sumber air perlu dilakukan tanpa kompromi terhadap pihak yang mengambil kesempatan tidak mematuhi peraturan supaya sumber air berada pada tahap lebih lestari dan berkualiti.
Alam ini perlu dipelihara dan diuruskan dengan baik. Tugas ini sebahagian daripada tugas yang diamanahkan terhadap manusia sebagai khalifah. Allah menjelaskan kemusnahan dan penderitaan bakal ditanggung manusia jika melakukan perbuatan menyalahi aturan alam.
No comments:
Post a Comment