Oleh Ghafani Awang Teh
Proses demokrasi tercalar, sistem bernegara tergugat jika perebutan kuasa jadi agenda utama
PERBUATAN merebut dan mencantas pihak lain untuk menjadi pemimpin adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan hak asasi manusia. Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman Samurah ditegur Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman Samurah, jangan engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Jika diberi kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."
Hadis ini menjelaskan dalam Islam jawatan pemimpin adalah tanggungjawab yang berat. Ia bukan status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan. Oleh itu, Islam menegaskan jawatan pemimpin tidak boleh ditagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata.
Bahkan, proses pemilihan pemimpin atau pentadbir perlu dilakukan dengan adil berasaskan kelayakan, karisma dan ciri kepemimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.
Allah mengingatkan kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang beriman." (Surah at-Taubat, ayat 128)
Pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara untuk diri dan penyokong.
Budaya politik wang yang bertujuan memenuhi kepentingan diri dan segelintir puak memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat. Sejarah silam tamadun Islam menunjukkan bagaimana pemimpin terbabit politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga serta mementingkan nafsu menjadi penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah.
Politik wang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Mereka berusaha menjatuhkan rakan seperjuangan dan pihak lawan walaupun secara tidak sah demi mencapai matlamat dalam politik.
Perebutan sengit kadangkala melalaikan mereka melaksanakan tugas hakiki iaitu memberi perkhidmatan memuaskan kepada masyarakat. Gelagat dan tingkah laku buruk pemimpin ini boleh menimbulkan rasa bosan dan meluat di kalangan rakyat.
Keadaan bosan berterusan menggugat sistem bernegara kerana rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pemimpin yang asyik mengejar atau mengaut kepentingan diri. Dengan perkataan lain, 'pemimpin bertelagah rakyat berpecah'.
Oleh itu, kita perlu insaf budaya politik wang mewariskan pemimpin tidak berkualiti, berakhlak dan berintegriti. Pemimpin yang berkuasa melalui politik wang melahirkan pemimpin yang mudah mengamalkan rasuah dan perbuatan keji lain. Lebih malang, amalan politik wang menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit saja berpeluang menjadi pemimpin besar.
Pihak yang tiada wang tidak berpeluang menjadi pemimpin walaupun benar-benar layak memimpin.
Kita juga perlu mengambil pengajaran ada pemimpin yang baik, tetapi terikut-ikut dengan kehendak dan tekanan penyokong dalam memenuhi agenda politik wang, maka pemimpin berkenaan tersungkur.
Kini orang Islam masih menjadi kuasa utama kepemimpinan negara. Kekuatan politik yang ada di tangan umat Islam menjadi ukuran kestabilan politik di negara ini. Oleh itu, apabila kuasa politik Islam lemah, maka pihak lain akan mengambil kesempatan.
Kita perlu ingat kelemahan kepemimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.
Prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari menetapkan kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat itu, amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahgunakan kuasa dan rasuah perlu ditolak dan dihapuskan. Mereka yang mengamalkan budaya ini tidak wajar diberi ruang sebagai pemimpin.
Mereka yang berjaya menjadi pemimpin secara sah mempunyai amanah dan tanggungjawab besar di sisi Allah. Mereka bertanggungjawab menentukan hala tuju negara dan rakyat ke arah pegangan hidup selari dengan ajaran al-Quran dan sunah. Pemimpin yang menunjukkan teladan, amanah dan baik terus disanjung serta ditaati rakyat.
Sebagai peringatan dalam pencarian pemimpin elok kita renungi rakaman pertukaran pemimpin antara Nabi Musa dan Nabi Harun dalam al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan berkatalah Musa kepada saudaranya Harun: "Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah dan jangan engkau menurut jalan orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-A'raf, ayat 142)
Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment