Friday, March 13, 2009

Muzium Benaki jadi rujukan Islam di Athens


MUZIUM Benaki di Athens menjadi pusat rujukan Islam di Greece dan Eropah.


Pameran diadakan tarik perhatian pelancong Eropah kenali, dekati budaya Muslim

ISLAM tersebar luas di Eropah terutama di kawasan Sicily dan selatan Sepanyol ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah atau juga dikenali sebagai Empayar Ottoman. Kerajaan yang berpusat di Cordova itu diasaskan oleh Khalifah Abdul Rahman I pada tahun 756 M.

Penaklukan Constantinople oleh Mehmed Fatih I pada 1453 pula menandakan penyebaran Islam di kawasan Eropah Timur yang juga di kenali sebagai kawasan Balkan. Greece yang bersempadan dengan negara Balkan juga tidak terkecuali daripada berada di bawah Empayar Ottoman.

Pertelingkahan dan peperangan di kalangan kerajaan kecil serta keadaan politik yang tidak stabil memudahkan perluasan Islam di benua itu.

Kelemahan kerajaan Byzantine juga memberi laluan kepada penyebaran Islam. Institusi gereja khususnya Gereja Greek Ortodoks, pada masa itu, tidak lagi menjadi pelindung kepada masyarakat dan tidak mampu lagi mendapatkan perlindungan dari kerajaan Byzantine.

Pada masa sama, institusi gereja juga hampir hancur disebabkan wujudnya penyalahgunaan kuasa, pergaduhan pemimpinnya, serta kekurangan kewangan untuk beroperasi sepenuhnya. Dalam keadaan beginilah ramai penganut Kristian tertarik kepada keistimewaan yang ada dalam agama Islam.

Dasar diplomasi dan toleransi menarik minat masyarakat Kristian memeluk Islam. Penghijrahan orang Turki dan usaha pendakwah juga memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Eropah pada zaman Uthmaniyah.

Namun, selepas melalui penjajahan demi penjajahan dan peperangan demi peperangan, kejatuhan Empayar Ottoman bukan sekadar berakhirnya pemerintahan Islam di Eropah, malah mengikis terus Islam daripada minda masyarakat Greek.

Ketika lebih 400 tahun pemerintahan Empayar Ottoman di Greece, pemerintah Turki membina beratus-ratus masjid dalam wilayah jajahannya, yang akhirnya dimusnahkan apabila negara itu bebas daripada Empayar Ottoman pada 1829.

Athens, yang suatu ketika dulu memiliki ratusan masjid, hari ini adalah ibu negara di Kesatuan Eropah yang terakhir tidak memiliki masjid.

Walaupun Greece membentuk sebahagian sempadan Kesatuan Eropah yang bersempadan dengan orang Islam Turki, masih ramai masyarakatnya yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai Islam.

Mereka dikatakan seolah-olah mengalami `Islamfobia' dan mempunyai tanggapan serong terhadap Islam. Sembilan puluh peratus rakyat negara itu adalah Kristian Ortodoks dan hanya 10 peratus adalah lain-lain agama termasuk Islam.

Mereka ini adalah orang luar yang berhijrah ke negara itu sebagai sumber tenaga kerja. Namun, atas usaha dan keprihatinan seorang ahli perniagaan yang sangat kaya daripada keturunan Greek Antonis Benaki, muncul usaha ke arah mendidik masyarakat Greek mengenali Islam melalui pembukaan Muzium Benaki yang terletak di pusat bandar Athens.

Pelbagai pameran diadakan di sini yang menarik perhatian ramai pelancong khususnya warga Eropah untuk mengenali dan mendekati Islam. Antaranya pameran diadakan tahun lalu yang menampilkan pelbagai wajah dan kehidupan umat Islam sedunia.

Contohnya, gambar seorang wanita bertudung berjalan melalui papan tanda restoran makanan segera Barat di bandar Kuwait, kanak-kanak lelaki asyik bermain permainan video di sebuah pusat video di Dubai dan seorang gadis Syria memegang bola salji di sebuah resort pergunungan berhampiran Damsyik.

Semua imej ini yang dipamerkan di ruang Kesenian Islam Muzium Benaki ini menunjukkan kemajuan di dunia Arab, sekali gus mengikis tanggapan Barat mengenai masyarakat dunia Arab yang dianggap terkongkong.

Pameran di Athens itu adalah sebagai bermulanya cubaan untuk mendidik masyarakat Greek mengenai rantau yang secara geografi terletak berhampiran dan ada kaitan secara ekonomi dengan dunia Arab tetapi masih wujud salah faham mengenai budaya masyarakat Islam.

Terletak di villa lima tingkat di Queen Sofias Avenue di Athens, Muzium Benaki diasaskan pada 1930 oleh Antonis sebagai memperingati bapanya, Emmanuel Benaki.

Perniagaan keluarga Benaki sangat maju pada kurun ke-19 di Mesir tetapi berpindah semula ke Greece pada 1920-an untuk melarikan diri daripada pergolakan yang berlaku secara tiba-tiba antara orang Yahudi dan Arab.

Pada 1931, Benaki menyumbangkan rumah keluarga di Athens dan koleksi yang mereka simpan lebih daripada 37,000 bahan kesenian Islam dan objek Byzantine. Lebih 9,000 artifak ditambah pada 1970-an, yang disumbangkan pelbagai pihak lain. Benaki terus aktif bersama muzium itu sehingga beliau meninggal dunia pada 1954.

Selepas usaha pemulihan bangunan yang musnah akibat gempa bumi dijalankan dan diubahsuai membabitkan kos RM20 juta, muzium itu dibuka semula pada 2000. Disebabkan sebahagian muzium itu memfokuskan kepada kebudayaan Greek, koleksi Islam dipindahkan ke rumah baru pada 2004 ketika Athens menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Dirasmikan pada 27 Julai 2004, muzium itu menampilkan lebih daripada 8,000 bahan berkaitan dengan pembangunan seni Islam selama lebih 12 abad termasuk seramik, hasil kerja tangan besi, emas, senjata, ukiran kayu, ukiran kaca dan tekstil.

Koleksi itu dikumpul dari seluruh dunia antaranya India, Iran, Mesopotamia, Asia Barat, Mesir, Turki, Afrika Utara, Sicily, Sepanyol dan sedikit dari Asia meliputi kesenian Islam dari kurun ke-7 hingga kurun ke-19, dan memiliki banyak koleksi kesenian Empayar Ottoman pada kurun ke-16.

Kemuncak pameran itu adalah dua ukiran kayu daripada kurun ke-8 Kerajaan Mesopotamia, gangsa kecil untuk pengiraan falak kepunyaan ahli astronomi terkenal Ahmad ibn al-Sarraj.

Kini muzium itu sering menjadi lokasi lawatan pelajar, sekali gus membolehkan generasi muda Greece mengenali Islam. Sejak dimasukkan ke dalam peta pelancongan, muzium itu menerima ramai pelawat asing yang teruja apabila bertembung dengan koleksi canggih dunia Islam dalam negara yang mengamalkan Kristian Ortodoks.

Pada November tahun lalu, Muzium Benaki bekerjasama dengan Muzium Britain dan pemilik koleksi persendirian mengadakan pameran Kesenian Islam di Qatar.

Semasa kunjungan ke Greece, penulis hairan kerana tidak dibawa melawat ke Muzium Benaki walaupun beberapa kali bas pelancong kami melalui kawasan itu. Bagaimanapun, sebaik melihat kewujudan muzium itu dalam peta pelancongan ditulis `Islamic Museum', penulis berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Pastinya ia memerlukan inisiatif sendiri untuk berkunjung ke situ kerana tidak dimasukkan dalam jadual lawatan.

Ketika bertanya kepada pemandu pelancong, Thanasis Prounarous mengenai Islam di Greece, beliau menjelaskan sebagai negara demokrasi, kerajaan tidak menghalang rakyatnya menganut sebarang agama. Katanya, Islam semakin dikenali dan rakyat Greece menghormati amalan agama lain selain Kristian.

Katanya, kerajaan negara itu bercadang membina sebuah masjid besar tidak lama lagi tetapi apabila ditanya bila akan dibina, beliau hanya menjawab; "Tidak lama lagi".

Sebaik kembali ke tanah air, penulis menceritakan mengenai perkara itu kepada seorang rakan yang pernah membuat liputan Sukan Olimpik Athens pada 2004. Menurut rakan ini, ketika itu beliau juga pernah bertanyakan perkara yang sama. Akhirnya kami membuat kesimpulan, sudah masuk lima tahun, belum ada satu masjid pun didirikan lagi.

Mereka yang berminat untuk melancong ke Greece boleh mendapatkan maklumat lanjut pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) 2009 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

No comments: