Wednesday, March 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Pemimpin dipilih perlu junjung ketinggian martabat agama Islam

http://peguamsyarie.org


KOMITMEN kepada Islam menjadi jati diri orang Melayu, tanpa Islam orang Melayu akan punah. - Gambar hiasan


Komitmen jadi penanda aras laksana tanggungjawab

PEMILIHAN kepemimpinan parti melihatkan pelbagai kemelut dan kontroversi tercetus. Namun penulis tidak berhasrat mencampuri urusan pemilihan kerana biarkanlah ahli parti menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kepemimpinan ini adalah penting pemimpin yang dipilih itu mempunyai komitmen tinggi kepada Islam yang menjadi jati diri orang Melayu. Tanpa Islam orang Melayu akan punah.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha yang dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam. Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan saja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan lagi supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tata cara kehidupan yang lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena ini sangat baik kerana rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Perkara ini jelas dalam perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan perlembagaan.

Hal ini termasuk Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 50 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud.

Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Perimeter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Berbalik kepada pemilihan Umno ini, penulis menyeru supaya pemimpin yang dipilih meletakkan keutamaan memartabatkan Islam sebagaimana yang dijunjung Perlembagaan Persekutuan. Keutamaan ini sepatutnya menjadi penanda aras kepada setiap pemimpin yang dipilih itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

No comments: