Sunday, November 1, 2009

Persoalan Agama: Buka ruang berbincang sebelum izin nikah

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA jatuh cinta dengan seorang pemuda. Selepas menjalin hubungan dengan beliau dan mengikat janji setia untuk berkahwin, tiba-tiba keluarga memaksa saya berkahwin dengan lelaki lain. Apakah berdosa perbuatan melanggar janji dengan pemuda itu.

Gadis bimbang,
Hulu Langat.


Perkahwinan seperti disyariatkan Islam ialah akad yang wajib disempurnakan dengan keredaan pihak terbabit. Gadis perlu bersetuju, demikian juga walinya meredai dan juga perbincangan dengan ibu dan adik beradiknya selepas sempurna diselidik latar belakangnya.

Rasulullah SAW menganjurkan beberapa petunjuk agar wanita tidak dipaksa dalam pemilihan jodoh walaupun masih berstatus gadis. Nabi SAW dalam dua hadis berbeza meminta wali bertanya anak perempuan mengenai bakal suaminya dan izin gadis itu biasanya terletak pada diamnya kerana malu. (Riwayat al-Daruqutni).

Demikian pula dalam hadis yang berasingan Nabi SAW pernah membatalkan perkahwinan wanita dengan lelaki yang tidak disukainya.

Pada kesempatan lain, Baginda ditanya seorang wanita mengenai perintah ayahnya untuk mengahwini seseorang yang tidak disenanginya, lalu Nabi SAW menyuruh menerima kehendak ayahnya. Wanita itu masih bertegas meminta campur tangan Baginda supaya memberitahu si ayah dia tidak menyenangi lelaki itu.

Nabi SAW masih menyatakan "terimalah ketetapan ayahandamu!" Demikianlah secara berulang-ulang Nabi menasihatinya, namun dia tetap berkeras. Akhirnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau berhak menolak."

Apabila Nabi SAW memerintahkan ayahnya memberikan kebebasan wanita ini untuk menuruti pilihannya, wanita itu berkata yang bermaksud: "Saya menerima kehendak ayah, cuma ingin beliau memahami mereka tiada kuasa terhadap urusan perkahwinan anak perempuan mereka."

Kesimpulannya, anak perempuan yang ingin dikahwinkan wajar diajak bermesyuarat, dihargai pandangannya dan diminta keredaannya.

Bapa juga perlu memahami kehendak hati anak sama menerusi tanda jelas atau tersembunyi.

Wali pula perlu reda dan memberikan kebenaran. Dalam hadis sahih Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa pun di kalangan wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, batal, batal! (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi).

Justeru, Muslimat tidak dibenar berkahwin tanpa izin wali. Hikmah hukum ini ialah untuk menjaga kepentingan wanita daripada dipermainkan kerana tanpa pengawalan ini dibimbangi ramai gadis menjadi mangsa penganiayaan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mereka mungkin ditipu lantas diperalat golongan yang ingin mengambil kesempatan.

Oleh kerana itu, Islam meletakkan syarat ketat untuk melindungi wanita iaitu dengan memberikan hak kepada wali untuk mengahwinkannya selepas berunding dengan empunya badan.

Seterusnya, melengkapkan kedua-dua komponen di atas, Nabi SAW menambah satu lagi perkara yang penting sebelum mendirikan rumah tangga iaitu rundingan dengan ibu wanita yang bakal dikahwinkan. Ini sesuai dengan maksud hadis: "Ajaklah ibu berunding mengenai anak perempuan mereka." (Hadis riwayat Ahmad, Ab Razzak, Abu Daud dan al-Baihaqi).

Kepentingan merujuk pendapat bonda disebabkan mereka lebih memahami hati anak perempuan yang biasanya tidak difahami si ayah.

Apabila semua pihak sepakat sama ada ayah, ibu, bakal isteri dan calon suami, perkahwinan ini akan mencapai kebahagiaan dan ketenangan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Rum ayat ke-21 yang bermaksud: "Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."

Selepas memahami penjelasan di atas, saya yakin saudari dapat memahami tindakan mengikat janji dengan pemuda pertama tanpa keredaan ayah yang menjadi wali adalah menyalahi syariat.

Nabi SAW pernah bersabda bermaksud: "Setiap orang Islam mesti mematuhi janji selain janji yang membabitkan pengharaman yang halal ataupun sebaliknya." (Riwayat al-Daruqutni)

Oleh kerana perjanjian saudari dengan pemuda itu sesuatu mungkar yang diharamkan syarak, saudari tidak perlu bimbang kerana mengabaikannya. Wali perlu menjaga hak terhadap anak gadis selagi ia dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak maka bapa wajar membuka ruang perbincangan tanpa bertindak secara diktator terhadap kepentingan puteri mereka.

Selain itu, dapatkan nasihat dan idea ibu dan serta adik-beradik, terutama yang terkenal dengan kebaikan dan salih semoga keluarga yang diasaskan itu berkekalan dalam kebahagiaan dan ketaatan kepada-Nya. Wallahu a'lam.

No comments: