Thursday, November 12, 2009

Hak Muslim: Anak 18 tahun berhak tuntut pemberian nafkah

Bapa kahwin lain bukan alasan abai tanggungjawab kepada zuriat sendiri

SAYA seorang pelajar berumur 18 tahun dan sekarang tinggal bersama dengan nenek yang tua dan uzur. Ibu saya meninggal dunia setahun lalu. Ibu bapa saya juga bercerai ketika saya berumur lima tahun. Segala perbelanjaan saya sekarang ditanggung nenek hasil daripada bantuan baitulmal yang kadang-kadang tidak mencukupi, sehingga saya terpaksa bekerja selepas waktu kolej sedangkan bapa saya masih hidup dan boleh dikatakan mewah.

Saya amat memerlukan wang sekarang untuk perbelanjaan pelajaran dan saya juga tidak mahu lagi menyusahkan nenek. Untuk pengetahuan, bapa saya berkahwin lain dan mempunyai seorang anak. Adakah saya masih berhak menuntut nafkah kerana umur saya 18 tahun? Apa yang perlu saya lakukan jika saya dibolehkan menuntut hak saya dan saya juga tidak mampu melantik peguam.

Zulfikar,
Batu 6, Gombak, Selangor

SAYA amat kesal dengan sikap bapa yang mengabaikan tanggungjawab ke atas saudara sebagai anak. Undang-undang syariah dan hukum syarak meletakkan bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah ke atas anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau jagaan orang lain. Tanggungjawab nafkah meliputi keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian, makan minum, perubatan dan pelajaran mengikut kemampuan dan taraf hidup si bapa seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKI) 1984. Kewajipan terhadap nafkah anak ini akan berterusan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, Seksyen 79 AUUKI 1984 membolehkan seseorang anak itu memohon kepada mahkamah agar nafkah itu dilanjutkan walaupun beliau mencapai umur 18 tahun. Seksyen 79 itu menyebut, "...perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi."

Secara jelas ia menyatakan bahawa bapa wajib menanggung nafkah seseorang anak walaupun ia mencapai umur 18 tahun jika anak itu ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di mana-mana universiti atau kursus pada peringkat lebih tinggi.

Dalam isu saudara, saya percaya bahawa saudara berhak untuk mengemukakan tuntutan nafkah bagi diri saudara terhadap bapa, walaupun beliau berkahwin lain mahupun sudah mempunyai anak lain. Kewajipan seorang bapa tidak akan terputus walaupun beliau berkahwin lain. Dalam hal ini, sikap lepas tangan bapa adalah tidak wajar kerana ia menjadi kewajipannya.

Saudara juga berhak membuat tuntutan tunggakan nafkah jika terdapat apa-apa perintah yang dikeluarkan berkaitan dengannya.

Tuntutan ini hendaklah dibuat melalui permohonan di mahkamah syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal saudara. Permohonan itu akan didengar di hadapan hakim melalui perbicaraan dan bagi melicinkan prosedur tuntutan saudara ini, saudara dinasihatkan melantik peguam. Saudara juga dinasihatkan menyediakan segala bukti berkaitan pembelajaran saudara termasuk resit perbelanjaan dan sebagainya.

Jika saudara atau nenek saudara tidak berkemampuan untuk melantik peguam, saudara dinasihatkan untuk berhubung dengan Biro Bantuan Guaman yang ditawarkan di setiap negeri. Di samping itu, saudara juga boleh cuba menghubungi Baitulmal Wilayah Persekutuan kerana badan itu juga mempunyai peruntukan khas bagi membantu golongan yang kurang mampu untuk mendapatkan khidmat guaman dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa syarat dan terma yang perlu dipenuhi.

INFO

# Tanggungjawab bapa terhadap anak diperuntukkan menerusi Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKI) 1984. Kewajipan terhadap nafkah anak akan berterusan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun.

# Seksyen 79 AUUKI 1984 membolehkan seseorang anak memohon kepada mahkamah agar nafkah itu dilanjutkan walaupun beliau mencapai umur 18 tahun.

# Seksyen 79 itu menyebut, "...perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi."

# Pertikaian nafkah boleh dituntut di mahkamah syariah. Penuntut tidak mampu bawa kes boleh rujuk Biro Bantuan Guaman.

Disediakan oleh Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Yusmawati Ab llah

No comments: