Monday, November 9, 2009

Pencapaian agama, akademik sumber kekuatan STAM

PELAJAR STAM cemerlang pendidikan akademik dan agama.
GABUNGAN aspek pendidikan agama, akademik dan hafazan (tahfiz) berjaya mengangkat kecemerlangan Sekolah Tahfiz al-Quran dan Bahasa Arab Malaysia (STAM) sebagai institusi pendidikan yang ideal bagi melahirkan kanak-kanak dan remaja pintar lagi berperibadi terpuji.

Bermula dengan 26 pelajar pada 2006, sekolah empat tingkat yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama dan makmal di Sungai Ramal Dalam, Kajang itu semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa, malah bilangan pelajar bertambah kepada 10 orang pada tahun ini.

Walaupun terkepung dengan pembangunan, lokasinya masih terpencil daripada kesibukan, sekali gus menjanjikan suasana pembelajaran mendamaikan dan nilai tambah ini memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk mencernakan ilmu pengetahuan tanpa gangguan.

Pengetua STAM, Ainun Madziah berkata, pihaknya menguruskan sekolah itu bagi melahirkan penghafal al-Quran dan generasi pelapis yang sempurna dalam pelbagai aspek, terutama dari segi penghayatan al-Quran.

Katanya, selain menghafal al-Quran, mereka tidak ketinggalan dalam ilmu akademik seperti Matematik, Sains, bahasa Inggeris, prinsip akaun dan bahasa Melayu yang diajar oleh guru berkelayakan dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

"Kami juga memberikan penekanan mengenai pelajaran jawi, syariah, fardu ain, tauhid dan fekah," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar, kelmarin.

PUSAT pendidikan di Sungai Ramal Dalam, Kajang jadi tumpuan pelajar Islam.
Beliau menegaskan komitmen pihaknya tidak berbelah bahagi untuk memberikan pendidikan sebaik mungkin dalam usaha melahirkan generasi berakhlak.

Menurutnya, dalam proses membentuk peribadi pelajar, pihaknya memerlukan kerjasama ibu bapa bagi menyempurnakan lagi tugas berat yang dipertanggungjawabkan itu.

"Kami juga mahu ibu bapa memahami proses pendidikan yang dipraktikkan di sekolah ini, supaya mereka dapat menyumbang kearah kecemerlangan anak di sini, malah kami juga tidak dipersalahkan kelak," katanya.

Dengan penekanan kepada penggunaan bahasa Arab dan Inggeris, STAM kini memberikan pendidikan rendah dan menengah, dari tahun satu hingga enam dan tingkatan satu hingga lima, di samping kelas pemulihan kepada pelajar yang penguasaannya kurang memuaskan.

Ainun berkata, sekolah ini juga telah mendapat kebenaran dari Universiti Madinah untuk menghantar pelajar yang cemerlang pencapaiannya dalam hafazan dan bidang akademik.

Menurutnya lagi, pengambilan pelajar untuk 2010 dibuka dari sekarang kerana sesi bermula pada 14 Disember, bagi tujuan kelas intensif bahasa Inggeris, bahasa Arab dan hafazan.

"Setiap pelajar yang akan masuk ke institusi ini perlu menjalani ujian kelayakan pada 15 November ini bagi menilai kecerdasan dan kemahiran pelajar untuk ditempatkan ke kelas selayaknya." katanya.

Pihaknya juga berminat untuk mengambil anak yatim dan anak keluarga miskin untuk belajar di sekolah terbabit. Kami mengalu-alukan jika ada badan tertentu atau individu tertentu yang sudi menjadi penaja kepada pelajar terbabit. Sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui lebih lanjut boleh berhubung dengan kami di talian 03-87343125 (pejabat) dan juga boleh melayari laman web kami: www.stam248.vox.com.

No comments: