Wednesday, November 4, 2009

Peguam Syarie Menulis: Penguat kuasa agama profesional kurang

Oleh Musa Awang


KES syarie memerlukan bukti kukuh sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah. - Foto Azuddin Saad


Syor tambah anggota, perkenal skim latihan tingkat kemahiran kendali kes jenayah syariah

PEGAWAI Penguatkuasa Agama (PPA) dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (Main) daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama, diberi kuasa menjalankan penyiasatan, menangkap dan menahan orang melakukan kesalahan di bawah undang-undang Islam, sebelum didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

PPA adalah sayap kanan kepada Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang syariah dilaksanakan. Mutakhir ini, tugas PPA bukan semata-mata menangani kes jenayah syariah.

Malah, tugas mereka mencakupi pelbagai bidang termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan berunsur Islam lain.

PPA juga berperanan memastikan undang-undang syariah, kaedah serta fatwa mufti dipatuhi dan dilaksanakan. PPA turut berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam.

PPA juga tertakluk kepada arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan arahan tetap Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama yang mengandungi manual atau tatacara menerima maklumat, menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, menyediakan laporan ringkas kes serta mengendalikan barang yang disita.

Adalah menjadi tanggungjawab PPA menghantar pesalah ke penjara atau pusat tahanan selepas dijatuhkan hukuman, seperti tugas polis di Mahkamah Sivil.

Pada 2007, sebuah akhbar tempatan mendedahkan di Johor hanya mempunyai seramai 76 PPA berbanding jumlah penduduk Islam Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah kontrak.

Menurut sumber, di Selangor kini hanya ada 68 PPA termasuk lelaki dan perempuan berbanding lebih 2.5 juta penduduk Islam. Jumlah penduduk itu tidak termasuk warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri itu.

Pada Disember 2008, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan hanya ada 1,242 PPA di seluruh negara, dengan nisbahnya seorang penguat kuasa bagi 23,000 orang, dan keadaan itu amat membebankan PPA melaksanakan tugas.

Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah terutama membabitkan tangkapan pesalah wanita. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan terbatas dihadapi PPA, menjejaskan tugas pencegahan maksiat.

Dalam menjalankan tugas, PPA perlu mahir melaksanakan beberapa prosedur seperti siasatan dan menyediakan laporan lengkap sebelum dikemukakan kepada bahagian pendakwaan. Skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam atau dilantik secara kontrak.

Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman terbantut.

PPA tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti pegawai penyiasat polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko termasuk kes pendakwaan yang lemah. PPA juga tidak mempunyai kuasa menahan reman pesalah menyebabkan mereka sukar mendapatkan maklumat. Selepas mengambil kenyataan, pesalah terpaksa dibebaskan sehingga dituduh di mahkamah.

Di sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam (hotline) tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Malah, PPA tidak dibekalkan sistem komunikasi dan ciri keselamatan yang cukup ketika menjalankan operasi.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan profesionalisme PPA di setiap Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) perlu disegerakan dengan menambah bilangan PPA di samping melatih kakitangan sedia ada.

Satu skim tertutup perlu diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain, supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah syariah.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mungkin perlu dikaji dan dipinda dengan memasukkan peruntukan yang memberi kuasa kepada PPA menahan reman pesalah, dengan perintah daripada Hakim Syarie.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mempunyai Bilik Gerakan 24 jam dikendalikan petugas khas bagi mengendalikan sistem maklumat sehenti boleh dijadikan model ke arah mempertingkatkan kecekapan dan keupayaan operasi PPA negeri.

PPA juga dibekalkan alat perhubungan walkie talkie antara bilik gerakan dan kumpulan operasi. Oleh kerana kekurangan anggota, maka mereka bekerja secara waktu anjal.

Penampilan PPA juga dipertingkatkan supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di kesemua kenderaan operasi.

Tidak dinafikan kewangan menjadi halangan besar kerana penambahan perjawatan dan infrastruktur memerlukan peruntukan kos besar. Namun, kita perlu sedar masyarakat melihat dan menilai agensi agama dari semasa ke semasa.

Paradigma baru bahagian penguatkuasaan atau PPA ini adalah arca kepada usaha pencegahan jenayah. Karisma yang terbit dari bahagian penguatkuasaan ini mencerminkan kepada masyarakat bahawa seriusnya kita mahu membendung dan mencegah jenayah syariah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www. peguamsyarie.org

No comments: