Tuesday, November 10, 2009

Ulama penentu jatuh bangun peradaban manusia

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Setiap Muslim perlu rujuk orang alim bertauliah elak perpecahan, perdebatan agama


ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini.

Jika ulama berperanan sebagaimana tanggungjawab nabi dan rasul, maka akan baiklah umat itu. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: "Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul." (Hadis Ibnu Adiy)

Ulama, seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya dan berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu itu bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan atau keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi rujukan utama umat manusia zaman berzaman.

Inilah ciri utama seorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam. Allah berfirman: "Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (Ulul Albab)." (Surah Ali Imran: 7).

Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal takwanya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran.

Oleh kerana imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama itu untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bahawa bekalan ilmu saja belum memadai. Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (Ulul Albab)." (Al-Baqarah: 197).

Dengan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada seorang ulama, maka dia mempunyai peranan yang cukup besar dalam membimbing dan memimpin hala tuju masyarakat dan negaranya ke arah keredaan Allah. Semakin kreatif seseorang ulama, maka semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia dalam hidup ini.

Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. Jika di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, kadi, imam dan ustaz lepasan institusi pengajian Islam.

Sehubungan itu, orang perseorangan mahupun jemaah tidak sewajarnya cepat melatah atau melenting dalam sesuatu isu yang diperdebatkan, terutama sekali membabitkan persoalan hal ehwal Islam. Apa saja isu yang berbangkit, serahkan saja kepada mereka yang ditauliahkan kerajaan dalam menyatakan persepsi sebenarnya agar dapat dijauhkan segala kekeliruan yang mungkin merenggangkan jalinan persaudaraan sesama Muslim.

1 comment:

Unknown said...

Ya, wacana ini indah bunyinya. Tetapi berapa ramai yang tidak gemar dengan kata-kata ulama? Teguran tidak diendahkan. Perdaban Melayu sudah lama tergolek di bumi Malaysia, lebih-lebih lagi terlalu banyak slogan yang diwar-warkan oleh media masa RTM, media arus perdana, hiburan melimpah ruah, ulama tegur, mereka buat tak dengar. Di mana integriti ulama? Nampaknya kaum artis lebih mulia dari ulama.