Friday, November 13, 2009

Penonton beri idea kembangkan siri Jejak Rasul

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my


SAFRINA (kanan) bersama pemenang lain Nor Hisham (kiri), Rosnani (dua dari kanan) bersama Ruzmi dan hos rancangan Ahmad Noor (tiga dari kiri) di Sri Pentas.


Pemenang utama kuiz sempena Ramadan saran tonjol pengorbanan wanita Islam

PRIHATIN terhadap kekurangan yang perlu ditambah baik dalam siri Jejak Rasul dengan mencadangkan fokus rancangan itu bukan sekadar menceritakan mengenai sejarah Nabi dan sahabatnya malah turut sama menyelami peranan wanita di sebalik perkembangan Islam, adalah kunci utama kejayaannya.

Itulah yang membawa kejayaan kepada eksekutif syarikat swasta dari Rawang, Safrina Sharif, 32, yang dipilih sebagai pemenang kuiz Jejak Rasul, sekali gus membolehkannya memenangi pakej umrah bernilai RM6,000 selain hadiah sampingan lain termasuk sistem karaoke BGM tajaan E&E Point Sdn Bhd serta set telefon azan dan pen Al-Quran tajaan AJV.

Sesuatu yang lebih membanggakan apabila dia bukan sekadar berjaya memenangi kuiz itu dengan satu penyertaan saja, malah berjaya mengetepikan 2,132 peserta lain yang terdiri di kalangan peminat setia rancangan bersiri terbitan TV3 siaran Ramadan tahun ini.

Slogannya � "Rancangan Jejak Rasul akan lebih menarik sekiranya menyingkap kembali pengorbanan dan sumbangan wanita di sebalik perjuangan Rasulullah, contohnya seperti Ummul Mukminin Saidatina Khadijah yang sudah memainkan peranan penting sewaktu Nabi akan diangkat menjadi Rasul dan menjadi wanita pertama beriman kepada Allah. Lebih menarik lagi sekiranya membabitkan wanita dari awal kelahiran Nabi sehinggalah kewafatan baginda."

Mengulas lanjut mengenai slogannya itu, Safrina berkata, dia adalah peminat setia rancangan itu sejak ia mula disiarkan 15 tahun dulu dan apa yang disedarinya, selama itu belum pernah ada fokus diberikan terhadap wanita pada zaman kebangkitan Islam sedangkan mereka turut terbabit secara langsung dalam mendokong jalan penyebaran Islam.

"Ketika menghasilkan slogan ini, saya sebenarnya mengimbau apa yang ada dalam rancangan ini sejak ia disiarkan dulu dan mula sedar bahawa belum pernah ada fokus terhadap wanita. Itu bermakna, slogan ini bukan dihasilkan secara spontan tetapi berasas," katanya yang pernah memenangi hadiah sagu hati dalam kuiz Jejak Rasul sebelum ini.

Kuiz Jejak Rasul 15 � Sirah Anbiya terbitan Primeworks Studios itu mula dibuka penyertaannya kepada penonton sepanjang Ramadan lalu iaitu pada 22 Ogos 2009 dan berakhir pada 22 September 2009 (selama 29 hari ) dan peserta boleh mengambil bahagian hanya dengan menggunakan borang khas yang disediakan dalam akhbar Berita Harian dan Berita Mingguan selaku rakan media rancangan Jejak Rasul 15.

Panel juri yang terbabit dalam memilih pemenang pula ialah Ketua Penerbitan, Bahagian Majalah & Dokumentari, Primeworks Studios, Zainal Ariffin Ismail; Penerbit Penyelaras, Penerbitan Agama, Primeworks Studios, Ruzmi Kamaruddin dan Penolong Pengarang Rencana Berita Harian, Muhd Yusuf Abu Bakar.

Hos rancangan itu, Ahmad Noor Sulaiman, berkata pendekatan penerbit rancangan itu yang memberi peluang kepada penonton untuk memberikan pandangan adalah petanda jelas bahawa TV3 mahu membuka ruang untuk menerima idea daripada orang ramai supaya tema yang bakal dipilih nanti menepati kehendak mereka.

"Setiap tahun rancangan ini ada temanya sendiri dan saya difahamkan slogan yang dipilih hari ini akan dijadikan panduan untuk dijadikan tema pada siri akan datang. Saya setuju bahawa idea Safrina yang sangat baik dan sesuai dijadikan tema untuk tahun depan.

"Melalui kuiz ini juga, kami dapati penonton rancangan ini semakin matang dan cerdik. Mereka sudah menunjukkan kebolehan mereka membimbing kami dengan pelbagai idea menarik. Ia membolehkan kami memantapkan rancangan ini berlandaskan kehendak orang ramai.

"Selain itu, beberapa soalan sukar yang mampu dijawab peserta juga menunjukkan mereka semakin menguasai sejarah Islam dengan baik. Ia kejayaan utama rancangan ini sejak ia menemui penonton TV3 15 tahun dulu," katanya.

Sementara itu, tempat kedua kuiz dimenangi Nor Hisham Idris dari Putrajaya dengan membawa pulang televisyen LCD 32 inci jenama Mocca, penyaman udara HP Inverter, pemain DVD dan pen Al-Quran tajaan Haier manakala Rosnani Said Fikri dari Johor pula membawa pulang televisyen LCD 32 inci jenama Mocca dan set sistem teater rumah tajaan Haier selepas dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

No comments: