Wednesday, November 11, 2009

Penyampaian ilmu tanpa hikmah gagal lahirkan insan berkualiti

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bhrian.com.my

PENEKANAN kepada penyampaian maklumat dan mempertingkatkan kemahiran menyebabkan aspek hikmah dalam pendidikan diabaikan sedangkan ilmu dan hikmah tidak boleh dipisahkan jika ingin melahirkan insan berjiwa besar. Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Dr Osman Bakar, berkata hikmah dalam bidang pendidikan merujuk ilmu istimewa dan jika dimiliki boleh menjadikan seseorang lebih bijaksana.

Katanya, apa yang berlaku dalam bidang pendidikan kini lebih kepada menyampaikan sebanyak mungkin maklumat bukan ilmu menyebabkan matlamat melahirkan generasi memiliki ilmu dan hikmah tidak tercapai.

"Hikmah ialah ilmu yang mempunyai ciri tertentu dan patut diserapkan pada peringkat pengajian rendah hingga ke universiti. Sekarang kita lebih bercakap mengenai penyampaian maklumat. Pemikir kita kata maklumat berbeza dengan ilmu dan ilmu berbeza dengan hikmah.

"Bagaimana kita dapat teruskan pembinaan tamadun manusia lebih baik jika hanya berpuas hati dengan penyampaian maklumat," katanya pada Seminar Pendidikan Tinggi Islam VII anjuran Kolej Dar al-Hikmah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi.

Seminar itu diadakan sempena sambutan 20 tahun penubuhan Kolej Dar al-Hikmah bertujuan membincangkan pendekatan dan usaha yang perlu dilaksanakan bagi membina generasi ilmuwan ulul albab dan memartabatkan falsafah pendidikan al-Hikmah.

Menjelaskan mengenai hikmah, Dr Osman yang menjadi ahli panel membicarakan 'Wawasan Pendidikan al-Hikmah: Pembinaan Generasi Ulul Albab' berkata, dalam konteks pendidikan, memiliki kemahiran saja tidak mencukupi sebaliknya perlu ditambah dengan sifat kemanusiaan.

Contohnya, untuk dikatakan menguasai bidang perniagaan perlu mahir teknologi maklumat selain memiliki banyak ilmu mengenai perniagaan. Namun apakah kemahiran saja mencukupi untuk menjadi peniaga yang berjaya?

Bagaimana sifat kemanusiaan seperti kejujuran dalam perniagaan kerana jika mengikut hikmah, kejujuran perlu sebagai aset dalam bidang perniagaan tetapi ia bukan dalam bentuk yang boleh disukat atau diukur.

"Maknanya jika ingin menjadi peniaga berjaya bukan sekadar memiliki kemahiran malah juga aspek lain seperti kejujuran. Peniaga yang memiliki kejujuran berbeza dengan peniaga hanya memiliki kemahiran. Oleh itu, hendak didik ilmu mesti berserta hikmah kerana jika ada satu saja, pendidikan itu tidak lengkap," katanya.

Katanya, dimensi kemanusiaan sedikit demi sedikit sudah terhakis daripada pemikiran dan kesedaran masyarakat hari ini kerana terdesak untuk menyampaikan sebanyak mungkin maklumat dan mengajar kemahiran.

Justeru, pihak berkuasa perlu mengkaji semula kurikulum pendidikan sama ada ia memberi penilaian cukup pada dimensi kemanusiaan serta bagaimana hendak menghidupkan kembali prinsip ilmu dalam al-Quran, hadis dan yang dikemukakan ulama setiap zaman.

Dr Osman berkata, gabungan ilmu dan hikmah perlu diserapkan dalam sukatan pelajaran supaya apa juga maklumat disampaikan mampu melahirkan manusia yang baik kerana daripada manusia baik lahir warga negara yang baik.

Sementara itu, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, berkata masyarakat perlu diberi kefahaman pentingnya pendidikan yang memberi fokus kepada pembangunan insan.

Katanya, perubahan dalam pendidikan wajar mengambil kira penyesuaian dalam binaan kurikulum dan metodologi bagi memperkasakan sistem pendidikan Islam yang boleh membangunkan tamadun.

"Bagi tujuan itu, pendidikan mesti bersepadu serta menyeluruh. Pendidikan Islam dan ilmu mengurus mesti disepadukan kerana kita perlu melahirkan ulama ilmuwan yang bukan saja tahu bidang profesional malah menguasai ilmu agama," katanya.

Beliau mahu pendidikan arus perdana yang pelajarnya berbilang bangsa didekati melalui pendidikan etnik dan nilai menggabungkan tamadun Islam dengan bukan Islam dalam usaha mendekatkan nilai murni, seterusnya menghasilkan pencapaian cemerlang.

Dalam aspek pendidikan Islam, Dr Sidek mahu penekanan diberikan kepada usaha memperkasa kurikulum yang mengintegrasikan ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama untuk diteruskan ke peringkat pengajian tinggi.

"Dengan ada ilmu bersepadu, pelajar sekolah aliran agama boleh meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi. Pada masa sama, pendidikan negara yang berbilang bangsa jangan terlepas daripada tamadun etika dan nilai yang menemukan manusia dengan manusia," katanya.

No comments: