Tuesday, November 3, 2009

Tabung Haji buka dua hospital di Tanah Suci

Lambaian Kaabah

JEMAAH haji Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri sejak berada di tanah air lagi supaya mereka tidak mengalami sebarang masalah ketika berada di Tanah Suci nanti.

Bagi jemaah yang mengalami penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka perlu sentiasa mematuhi preskripsi pengambilan ubat ditetapkan oleh doktor sebelum berangkat dan selepas berada di Tanah Suci.

"Ini bagi mengelakkan jemaah haji daripada mengalami pelbagai komplikasi kesihatan apabila berada di Tanah Suci disebabkan perubahan cuaca," kata Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Malaysia, Dr Ahmad Faudzi Yusoff kepada petugas media Tabung Haji yang meninjau kemudahan di Hospital Tabung Haji di kawasan Aziziah, lima kilometer dari Masjidil Haram, Makkah.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah haji yang mendapat rawatan di klinik disediakan di tempat penginapan (maktab Tabung Haji) mengalami batuk, selesema, demam, kulit kering dan masalah pernafasan serta sakit otot terutama di kalangan jemaah haji berusia.

Sehingga kini hampir 12,000 daripada 26,000 jemaah haji Malaysia berada di Tanah Suci dan secara keseluruhannya mereka dalam keadaan sihat.

Dr Ahmad Faudzi berkata, setiap maktab Tabung Haji mempunyai klinik yang beroperasi sehingga 10 malam bagi merawat kes ringan manakala bagi kes yang memerlukan rawatan lanjut atau pemerhatian khas, jemaah haji berkenaan akan dirujuk ke hospital Tabung Haji di Aziziah.

Beliau berkata, hospital di Aziziah menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan rawatan pemerhatian dengan pengkhususan kepada kes kardiovaskular dan mental serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti farmasi, ambulans, x-ray serta fisioterapi.

Dengan kekuatan 25 orang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan serta kakitangan sokongan lain hospital di Aziziah yang memberi khidmat kepada jemaah haji sejak lebih 30 tahun mempunyai 80 katil dan mampu memberi rawatan separa kronik kepada jemaah haji.

Dr Ahmad Faudzi berkata, sebuah lagi hospital Tabung Haji di kota Makkah terletak di kawasan Syisya, kira-kira dua kilometer dari Jamrah yang juga menawarkan perkhidmatan sama seperti di hospital Aziziah.

"Jemaah hanya dirujuk ke hospital Arab untuk rawatan lanjut bagi perkhidmatan perubatan yang tidak ada di klinik atau hospital Aziziah dan Syisya seperti pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan, pemindahan darah dan pembedahan," katanya.

Mengenai pengurusan pesakit ketika operasi di Arafah dan Mina, beliau berkata jemaah yang sakit sebelum wukuf dibawa ke Arafah oleh petugas perubatan Tabung Haji dengan menaiki ambulans dan duduk seketika saja di Arafah pada waktu wukuf dan kemudian dibawa balik ke hospital.

"Pesakit juga tidak akan bermalam di Muzdalifah dan Mina atas sebab keuzuran Syarie dan menurut hukum Islam mereka tidak dikenakan dam," katanya.

Beliau mengingatkan jemaah haji supaya meningkatkan kecergasan dengan melakukan senaman secara berkala atau bertemu doktor apabila mendapat sebarang masalah kesihatan sebelum berlarutan.

"Makanlah makanan seimbang dan ambil vitamin yang boleh menambah ketahanan diri, rehat badan, tenangkan fikiran dan dapatkan tidur yang cukup sebelum bertolak ke Tanah Suci," katanya � Bernama

No comments: