Sunday, November 8, 2009

Persoalan Agama: Memohon kemaafan dituntut Islam

Soalan:

MEREKA yang mahu mengerjakan haji perlu memohon maaf sebelum berangkat ke Tanah Suci. Persoalannya, mengapakah ada syarat sedemikian? Bagaimana jika dia tidak sempat memohon maaf kerana orang berkenaan sudah meninggal dunia?

AMRAD,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Haji ialah satu ibadat penting dan Rukun Islam kelima. Rukun bermaksud tiang, tanpanya bangunan tidak mampu dibangunkan. Rukun ini diwajibkan ke atas setiap Muslim yang merdeka, baligh dan berakal. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat ke-97 bermaksud: "Dan Allah SWT mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

Dalam ayat ke 27- 28 surah al-Hajj, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, menunggang berjenis unta kurus dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah SWT, pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, fakir miskin."

Perenggan terakhir ayat ke-28 itu menunjukkan bahawa antara hikmah ibadat haji ialah memperbaiki hubungan dengan manusia iaitu membantu golongan yang susah dan fakir miskin.

Sudah menjadi suatu amalan masyarakat negara kita untuk bermaafan sebelum ke Tanah Suci. Ini disebabkan mind-set yang sedia ada ditanam dalam diri setiap individu bahawa perjalanan mengerjakan haji ini mengambil masa lama dan mencabar. Ada juga berlaku kematian ketika dalam perjalanan dan waktu mengerjakan haji.

Di samping itu, masyarakat Melayu yang kaya dengan adab sopan kerap mengadakan kenduri disertakan dengan doa agar selamat pergi dan balik dari Tanah Suci.

Pada hakikatnya, memohon kemaafan dituntut Islam. Perkara ini ditegaskan dalam banyak firman Allah, contohnya dalam ayat ke-134 surah Ali Imran menceritakan keutamaan kemaafan. Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang menahan kemarahannya dan orang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah SWT mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik."

Banyak hadis menunjukkan kasih sayang ialah prasyarat melayakkan seseorang menjadi orang beriman dan sekali gus kunci ke syurga. Penerimaan taubat nasuha juga disyaratkan ada kemaafan daripada pihak berkenaan. Perkara ini diperjelaskan ulama Islam, contohnya an-Nawawi dalam Riyadhus Salihin menerusi bab taubat. Imam Ghazali menjelaskan dalam Ihya 'Ulumiddin bahawa ada kesilapan tidak perlu disampaikan kepada pihak terbabit jika ia akan mewujudkan suatu yang tidak diingini.

Jadi di sini, ada pengecualian memohon kemaafan. Dalam konteks ini, memadailah baginya memohon keampunan Allah SWT terhadap kesalahan pihak itu, dan banyakkan bersedekah untuknya serta mendoakan baginya.

Menjawab soalan yang dikemukakan, selepas membuat kajian menerusi dalil syarak, penulis tidak menjumpai sebarang nas yang menunjukkan Nabi SAW melakukan perkara seperti ini. Cuma yang dapat dilihat dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sebelum berpisah ialah Nabi mengucapkan kepada ahli keluarga dan sahabat dengan kata: "Aku tinggalkan kamu semua di bawah penjagaan Allah SWT yang tidak akan luput sesuatu ditinggalkan di sisi-Nya." (Ibn Majah 2825, Sunan al-Nasaeiy No 10342).

Jadi kesimpulannya, petunjuk yang terbaik yang wajar kita amalkan ialah amalan Nabi SAW tanpa menafikan kepentingan bermaaf-maafan itu sendiri. Mengamalkan sunnah Nabi sebelum berpisah seperti hadis di atas lebih utama diamalkan, namun memohon kemaafan selepas melakukan kesilapan juga wajib dilakukan. Justeru, bagi yang akan melaksanakan ibadat haji secara khasnya dan yang akan bermusafir secara umumnya, lakukan doa Nabi seperti yang di atas, di samping memohon ampun dan maaf pada pihak yang kita ada melakukan kesalahan padanya.

Bagi pihak yang sudah meninggal dunia sedangkan ada haknya yang belum kita tunaikan, kita masih boleh melakukan salah satu perkara di bawah:

1. Beristighfar kepada Allah SWT untuknya.

2. Melakukan sedekah lalu meniatkan pahala untuk beliau

3. Berdoa kepada Allah SWT untuknya

4. Menjalinkan hubungan dengan anggota kerabatnya dengan cara terbaik

5. Membantu ahli keluarganya yang menghadapi kesusahan

Apa saja yang dilakukan adalah kebaikan sebenarnya dinilai oleh Allah SWT yang berfirman dalam ayat ke 197 surah al-Baqarah yang bermaksud : "Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

No comments: