Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
SAYA masih keliru mengenai 'Haji Akbar'. Saya diberitahu bahawa apabila hari wukuf bertepatan pada Jumaat, ia disebut Haji Akbar dan pahalanya adalah seperti tujuh kali haji. Apakah maklumat itu benar. Harap dapat penjelasan.
Salim,
Kuala Lumpur.
Ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai Haji Akbar. Ada yang mengatakan ia adalah hari wukuf kerana ia rukun terpenting dalam ibadat haji. Ada yang mengatakan hari ke-10 Zulhijjah kerana semua asas penting dalam haji sudah diselesaikan.
Imam Hasan Al-Basri ketika ditanya mengenai Haji Akbar menjawab: "Apa yang perlu ditanyakan lagi kerana hal ini berlaku pada tahun Abu Bakar dilantik Rasul SAW mengetuai rombongan menunaikan haji pada tahun ke-9 hijrah. Jawapan ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 3 bermaksud: "Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin".
Menurut sejarah, ketika Haji Wada' 10 Hijrah, Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat dan esoknya hari ke-10 di Mina masih dalam rangka Haji Akbar. Jika Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat nescaya wukuf Abu Bakar pada tahun sebelumnya bukan hari Jumaat sedangkan pada musim haji berkenaan disebut dalam surah Taubah berkenaan.
Ibnu Kathir pula lebih cenderung kepada hari yang ke-10 berdasarkan sebuah hadis Abdullah Ibnu Umar bahawa Rasul SAW berdiri berhampiran Jamrah ketika Haji Wada' pada hari ke-10 lalu berkata, "Inilah dia Haji Akbar.'
Alasan kedua ialah hadis Abdul Rahman Bakrah yang menceritakan, "Pada hari duduknya Rasul SAW di atas belakang unta dan bertanya: "Hari apakah ini? Kami semua diam kerana mungkin Baginda akan mengumumkan sesuatu nama yang baru buat hari itu". Lalu sabda Rasul SAW: "Bukankah hari ini yang bernama Haji Akbar? � (Hadis Bukhari).
Saidina Ali Abi talib pernah ditanya mengenai Haji Akbar, beliau menjawab: "Hari Nahar (hari ke-10)".
Jadi tidaklah dapat dipastikan mengenai Haji Akbar ini. Namun demikian ada ulama yang mengambil jalan tengah dengan memberi maksud Haji Akbar - iaitu 'Haji Besar', ibadat haji itu sendiri dengan wukuf di Arafah dan umrah 'haji kecil'. Ulama Tabi'in berpendapat 'Haji Akbar' ialah Haji Qiran (mengerjakan haji dan umrah serentak). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ialah hari ke-10 di Mina kerana melontar Jamrah dan menyembelih binatang.
Sufya As-Tsaury berkata, "Keseluruhan ibadat haji itu adalah Haji Akbar kerana ia juga disebut Yaumul Fath (hari kemenangan). Setengah ulama berpendapat bahawa haji pertama dilakukan dalam hidup seseorang adalah 'Haji Akbar' kerana ia adalah ibadat yang amat bermakna dalam hidupnya kerana mendapat keistimewaannya yang besar. Adapun wukuf hari Jumaat adalah sama ganjarannya dengan tujuh kali haji tidak ditemui hadisnya.
Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui emel: zaman@nstp.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment