Tajuk: 60 Langkah Ke Arah Kecemerlangan Ibadat Haji dan Umrah
Pengarang: Nadzriyah Jaafar
Penerbit: Multi Three Victory (m) Sdn Bhd
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar
JEMAAH yang ke Makkah untuk menunaikan haji tentunya mahukan ibadat sempurna bagi membolehkannya diterima Allah sebagai haji mabrur. Sebelum menjejak tanah haram itu, pelbagai ilmu mengenai haji dibaca dan diteliti bagi memastikan ibadat memenuhi syarat sah dan rukun haji.
Selain mengikuti kursus yang diberikan Tabung Haji dan pengendali haji, kita juga boleh mendapat manfaat daripada buku yang ditulis mereka yang pernah menjejak Makkah untuk dijadikan panduan.
Buku 60 Langkah Ke arah Kecemerlangan Ibadat Haji dan Umrah yang dihasilkan Datin Nadzriyah Jaafar boleh dijadikan panduan dan renungan. Buku ini dilengkapi maklumat amalan rukun dan sunat haji dan umrah selain disertakan doa ketika melakukan ibadat di Tanah Suci. Pengarang menghasilkan buku ini, selepas melihat ramai jemaah tidak bijak menggunakan masa ketika di sana, mungkin disebabkan kurang ilmu atau malas beribadat.
Pengarang turut memberi panduan supaya mengelak menjadi teman kaki sembang dan kaki tidur kerana masa dihabiskan secara tidak berfaedah, sebaliknya menjadikan masjid tempat beribadah dan solat berjemaah. Jemaah perlu muhasabah diri setiap hari dan mencatatkan rancangan ibadat dan amalan untuk hari esok. Cuma mungkin pengarang boleh memperbaiki reka letak bahan penulisannya supaya lebih menarik dan mudah untuk dibaca.
Buku ini banyak memberi maklumat diperlukan jemaah sebagai tambahan sebelum menjejaki kaki ke Tanah Suci dan dijadikan buku pembimbing ketika di sana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment