Sunday, November 8, 2009

Persoalan Agama: Elak sebut perkataan lucah, buat maksiat di Tanah Suci

Soalan:

SAYA ingin tahu, apakah ada sebarang petua atau ayat yang boleh kita amalkan bagi tujuan memurnikan hati sepanjang tempoh berada di Tanah Suci?

Hana,
Ampang

Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Masa untuk mengerjakan ibadat haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh demikian, sesiapa yang sudah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh melakukan rafath dan tidak boleh melakukan fusuq dan tidak boleh bertengkar, ketika mengerjakan ibadat haji.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melakukan ibadat haji tanpa melakukan al-Rafath ataupun al-Fusuq, maka dia akan pulang sebagai mana baru dilahirkan oleh ibunya (bersih dari dosa).

Menurut kamus al-Muhit, al-rafath bermaksud: "Perkataan lucah dan keji serta perkara menjurus kepada jimak ataupun zina. Maknanya, melihat kepada wanita yang bukan mahram sama ada secara fizikal ataupun gambar sekalipun termasuk dalam al-rafath yang boleh mengurangkan pahala ibadat haji.

Menurut Ibn Kathir dalam sahih Tafsir Ibn Kathir, Ibn Abbas mentafsirkan al-Fusuq sebagai maksiat dalam pelbagai kategorinya. Ini juga pandangan 'Atha,' Mujahid, Ikrimah dan jumhur ahli tafsir al-Quran. (Rujuk sahih Tafsir Ibn Kathir cetakan Pustaka Ibn Kathir Jilid 1 Halaman 651).

Seterusnya ayat ke-197 di atas turut melarang seseorang yang mengerjakan haji daripada bertengkar. Pertengkaran yang berlaku biasanya disebabkan perasaan ego dan tidak menghormati jemaah lain. Lebih malang lagi kadangkala pertengkaran ini membabitkan pergeseran pandangan dan cara penyelesaian bagi perkara kecil seperti penyaman udara, makanan yang disediakan dan sebagainya.

Di samping itu, antara adab yang turut disenaraikan oleh al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmuk ialah:

1. Disunatkan memilih sahabat salih yang sentiasa dapat memberikan nasihat kepadanya.

2. Orang yang bermusafir hendaklah berakhlak dengan sifat mulia dalam perkataan, tingkah laku dan saling membantu antara satu dengan yang lain.

3. Banyak berdoa untuk diri sendiri, keluarga, sahabat handai dan saudara mara kerana doa dalam perjalanan dimakbulkan Allah SWT.

Kesimpulannya sejauh mana seseorang itu mampu mengawal dirinya daripada melakukan larangan di atas maka dengan cara itulah dia akan mampu memurnikan hatinya dan sekali gus membantunya mencapai tingkatan haji yang lebih tinggi.

1 comment:

Unknown said...

Perkataan lucah dan mencarut sekarang bukan persoalan di Makkah, tetapi dalam akhbar kita yang sangat menonjol.Memalukan umat. Melayu pelucah sangatkah? Melayu baru kenal video lucah agaknya.