Oleh Dr Aminudin Mansor
Umat tunai Rukun Islam kelima di samping eratkan ukhuwah
SEMPENA 9 Zulhijah, bulan kemuncak pelaksanaan ibadat haji, tetamu Allah beramai-ramai wukuf di Arafah. Ada beberapa hikmat mengerjakan ibadat haji sama ada bagi individu, masyarakat dan negara. Antaranya ialah:
# Mengerjakan haji mendapat banyak ganjaran dan keampunan Allah
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Antara umrah pertama dengan kedua penghapusan dosa (yang dilakukan antara keduanya) dan haji mabrur tiada pahala kecuali syurga." (Riwayat Al Bukhari)
# Menjalin dan menguatkan ikatan persahabatan (ukhuwah Islamiah)
Ibadah ini membuka ruang untuk berkenal, bertukar pendapat membincangkan mengenai pelbagai masalah dihadapi umat Islam seluruh dunia.
# Menambah pengalaman dan meluaskan pengetahuan
Jemaah berpeluang melihat tempat bersejarah dan melihat serta berkenalan dengan saudara Islam yang datang dari pelbagai negara, bangsa dan corak kebudayaan.
# Menanam keinsafan
Ketika mengerjakan ibadat haji semua orang sama dan memakai pakaian yang serupa pula. Tidak ada beza antara rakyat, orang biasa, orang berpangkat dan antara orang kaya dan miskin.
# Melatih diri bersabar, berani dan tabah hati
Hal ini terangkum dalam talbiah Rasulullah: "Aku datang (memenuhi panggilan-Mu), ya Allah, aku datang. Aku datang tiada sekutu bagi-Mu, aku datang. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan (kekuasaan) milik-Mu tiada sekutu bagi-Mu" (Riwayat Al Bukhari)
Jelaslah, Zulhijah adalah bulan menyahut panggilan Ilahi dan menjalin persaudaraan sejagat. Allah memilih 10 hari pertama Zulhijjah dengan mentakdirkan ada hari Tarwiyyah (hari kelapan), hari Arafah (hari kesembilan) dan Nahar (hari ke-10) yakni disunatkan berkorban, talbiah, haji dan ibadah lain.
Pada hari pertama hingga 10 Zulhijah, mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam hal ini, Ibnu Abbas meriwayatkan hadis Rasulullah sabdanya yang bermaksud:
"Hari Allah mengampunkan Nabi Adam adalah hari pertama Zulhijah. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah mengampunkan dosanya.
"Pada hari kedua, Allah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkan baginda daripada perut ikan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, pahalanya seperti orang beribadah kepada Allah Taala selama setahun serta tidak menderhaka Allah dalam ibadatnya meskipun sekadar sekelip mata.
"Pada hari ketiga, Allah mengabulkan doa Nabi Zakaria. Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.
"Pada hari keempat, Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah menghapuskan kesusahannya dan kefakirannya. Di samping itu, pada hari kiamat akan duduk bersama orang yang baik dan mulia."
Hari Raya Haji mempunyai keistimewaan yang harus diperbesarkan umat Islam. Ia bertujuan mengingati dan mengenang semula serta mengambil iktibar daripada pengorbanan tiga manusia agung yang harus dicontohi setiap lapisan masyarakat, ibu bapa, remaja dan juga pemimpin bagi membina sahsiah dan kecemerlangan dalam kehidupan.
Tiga manusia agung itu ialah Nabi Ibrahim AS yang berjiwa kebal dan kental serta mempunyai cita-cita unggul.
Kedua, Hajar sebagai isteri salihah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang, serta mempunyai kesabaran yang luar biasa.
Ketiga, Nabi Ismail sebagai anak salih yang berjiwa takwa, tawakal sehingga sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.
Demikianlah kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kisah itu perlu dijadikan iktibar demi meniupkan semangat kesedaran, tanggungjawab dan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah SWT.
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS sangat besar iaitu dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah dan men-jadikannya kota suci umat Islam yang penting.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment