Oleh Ibrahim Abdullah
SIFAT siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Dari Abdullah bin Masud, Baginda bersabda bermaksud: "Sesungguhnya siddiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta." (Hadis Bukhari).
Abu Bakar as-Siddiq, sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai keistimewaan berbanding sahabat yang lain. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu'abul Iman, dari Umar bin al-Khattab: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar."
Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji keislaman Abu Bakar, seperti dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wal al-Nihayah: "Tidak aku mengajak seorang masuk Islam, tanpa ada hambatan, keraguan, tanpa me-ngemukakan pandangan dan alasan, hanyalah Abu Bakar. Ketika aku menyampaikan ajakan itu, dia langsung menerimanya tanpa ragu-ragu sedikitpun. Puncaknya adalah pada peristiwa Israk dan Mikraj, di mana semua manusia mendustai Rasulullah SAW, namun Abu Bakar yang membenarkan kejadian itu."
Oleh itu, Abu Bakar mendapat jolokan as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq ini adalah pemberian Allah melalui lisan Rasulullah SAW, sebagaimana yang dikatakan Ali Abi Talib. Dengan demikian hal ini menunjukkan bahawa siddiq merupakan sifat yang mempunyai nilai tertinggi di sisi Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud : "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar." (Surah al-Ahzab: 35).
Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Firman Allah bermaksud: "Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi, golongan siddiqin, syuhada dan salihin, mereka itulah teman sebaik-baiknya." (Surah al-Imran: 69).
Kedudukan apakah yang paling mulia di akhirat selain nabi dan syuhada serta orang salih. Hal ini menunjukkan betapa siddiq adalah sifat yang sangat disukai Allah SWT. Jika tidak, tentu Allah tidak akan menjanjikan sesuatu yang sangat tinggi kepada mereka.
Orang yang siddiq memiliki beberapa ciri, di antaranya adalah:
# Teguh dan tegar terhadap apa yang diyakininya.
# Tidak ragu untuk berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
# Memiliki keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW, berinfak (sedekah atau sumbangan), mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji dan sabar.
# Mempunyai komitmen yang kuat terhadap Islam.
Cara meraih sifat siddiq ialah :
# Sentiasa memperbaharui keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Kerana asas dari sifat siddiq ini adalah kuatnya keyakinan kepada Allah.
# Melatih diri untuk bersikap jujur, ikhlas di mana pun berada dan bila-bila masa saja, kerana kejujuran dan keikhlasan adalah karakter mendasar sifat siddiq.
# Melatih diri untuk sentiasa membenarkan sesuatu yang datang dari Allah (al-Quran dan Sunnah), kerana kebenaran mutlak hanya milik Allah. Sementara ijtihad manusia masih sangat memungkinkan adanya kesalahan.
# Sentiasa melatih diri untuk komitmen dengan Islam dalam segala aspeknya, akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Kerana salah satu ciri siddiqin adalah memiliki komitmen yang tinggi terhadap Islam.
# Selalu menghayati ayat Allah, hadis Rasulullah SAW mengenai sifat siddiq, kerana menghayati ayat dan hadis juga cara tersendiri yang sangat membekas dalam jiwa manusia.
# Sentiasa membuka kehidupan salafus salih, terutama pada sikap mereka yang menunjukkan jujur dan benar.
# Memperbanyak zikir dan amalan sunnah, kerana ia akan menjadikan hati tenang dan tenteram serta mudah dihiasi sifat siddiq.
Yang dikhuatirkan adalah munculnya sifat kazib (dusta) dari dalam jiwa. Ini kerana tabiat hati, jika tidak dihiasi dengan sifat yang positif, maka ia akan terisi dengan sifat negatif. Oleh kerana itu mengawal hati dengan menjauhi sifat munafik dan pendustaan, boleh menjadi seseorang memiliki sifat siddiq.
Tuesday, November 3, 2009
Golongan siddiq mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah
Labels:
(A) Ibrahim Abdullah,
Cakap Benar,
Kisah Sahabat,
Siddiq
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment