Monday, November 9, 2009

Persenda Islam boleh jejas keharmonian

Oleh Zainul Rejal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my

Laungan azan oleh pelajar di gereja timbulkan keraguan masyarakat pelbagai kaum


TINDAKAN sekumpulan pelajar sekolah menengah di Betong, Sarawak baru-baru ini merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah termasuk melaungkan azan dalam sebuah gereja, boleh menimbulkan kekeliruan dan masalah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sebagai rakyat yang mentaati undang-undang, seseorang itu hendaklah menghormati sentimen dan agama orang lain. Timbul soal apakah sekolah yang menjadi pusat pendidikan pelajar berkenaan gagal menyemai sikap toleransi dan saling hormat antara satu sama lain atau adakah ibu bapa pelajar tidak mendidik anak mereka ke arah itu?

Akibat tindakan itu, umat Islam diseru bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sebenarnya memang kebiasaannya umat Islam bertenang di dalam perkara begini. Namun hakikatnya umat Islam menagih supaya tindakan yang adil diambil terhadap orang yang mencabuli kesucian agama Islam.

Siasatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) mungkin tidak dapat mencapai matlamatnya kerana pelaku kesalahan itu, orang bukan Islam. Jais hanya boleh menyiasat terhadap orang Islam dan mendakwa mereka di Mahkamah Syariah yang hanya ada dalam bidang kuasa kes jenayah terhadap orang yang menganut Islam.

Dalam hal ini, siasatan Jais hanya menjadi persoalan akademik dan tinggal sebagai siasatan saja. Sebenarnya pihak polis yang perlu mengadakan siasatan dan menyiasat kes berkenaan. Sekiranya benar, ada kesalahan dilakukan, maka mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang tidak mengasingkan orang Islam dan orang bukan Islam.

Kesalahan yang dilakukan itu adalah amat serius dan mengguris hati umat Islam. Selama ini umat Islam amat berhati-hati dan tidak mendokong sebarang usaha menghina agama selain Islam. Malah, dalam banyak keadaan, umat Islam sendiri menyokong mana-mana orang Islam yang menghina agama bukan Islam agar disiasat dan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka.

Pihak berkuasa juga didapati amat cekap apabila kesalahan berkenaan dilakukan orang Islam tetapi sebaliknya terlalu banyak birokrasi jika dilakukan orang bukan Islam. Ini terbukti misalnya di dalam kes perarakan kepala lembu baru-baru ini, bukanlah saya menyokong perarakan itu tetapi hanya menzahirkan contoh perbezaan darjah tindakan yang diambil pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera di dalam kes menghina agama Islam itu.

Perkara sebegini amat tidak wajar berlaku di mana-mana bahagian negara ini. Yang lebih menyedihkan ialah Sarawak adalah salah satu daripada empat negeri di Malaysia yang masih belum meluluskan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Negeri lain yang masih belum meluluskan undang-undang itu ialah Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Walaupun undang-undang ini tidak dapat membendung penghinaan terhadap agama Islam seperti diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan, dengan wujudnya undang-undang itu ia akan dapat memberi panduan kepada orang bukan Islam agar tidak mencemarkan kesucian agama Islam atau cuba mendakyah orang Islam.

Ia sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai 'Agama Persekutuan' seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji beberapa tahun lalu bahawa keempat-empat negeri itu akan menggubal undang-undang kawalan berkenaan tetapi sehingga kini walaupun bertukar pucuk pimpinan, undang-undang itu masih lagi menjadi impian umat Islam di negeri berkenaan.

Berbalik kepada penghinaan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar di Betong itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka melakukan kesalahan terbabit. Sekiranya tindakan gagal diambil seolah-olah ia akan menjadi manifestasi diskriminasi terhadap orang Islam. Perkara sedemikian juga sebenarnya menunjukkan kegagalan sistem pendidikan kita menyemai sifat saling menghormati antara satu sama lain.

Mungkin prasarana pendidikan kita yang mengasingkan pelajar mengikut bangsa dan agama menjadikan timbul persepsi negatif antara satu sama lain. Walaupun disuarakan pembentukan sekolah satu aliran, ia masih sukar dilaksa-nakan kerana sebahagian kita masih lagi melihat sekolah aliran jenis kebangsaan itu dalam konteks mikro saja.

Mereka tidak melihatnya daripada aspek lebih besar iaitu keperluan menyemai fikrah yang sama dan saling bekerjasama dan mengenali antara satu sama lain.

Natijahnya, rakyat Malaysia daripada bangsa tertentu akan mempunyai keraguan terhadap rakannya daripada kalangan bangsa yang lain walaupun selalunya keraguan itu tidak dizahirkan. Tetap jauh di lubuk hati mereka terpahat sikap gusar dan tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sekali lagi saya meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap sesiapa saja yang mencemar hubungan baik antara agama dan memperlekehkan mana-mana agama. Seharusnya keharmonian dan keamanan yang kita sudah kecapi ini dipertahankan bukan dirobek serta diperkotak-katik.

Penulis ialah peguam bela, peguam cara dan peguam syarie dan boleh dihubungi melalui e-mel zainul.rijal@abubakar.my

1 comment:

Unknown said...

Kalangan orang politik termasuk di pihak pemerintah juga kerap melakukan penyendaan agama. Rakyat jadi bisu apabila pemimpin bercakap tentang Islam yang berdegar-degar, tapi jauh dari pengamalan. Sudahnya, semua orang tutup telinga. Ada yang kata, cakap tak serupa bikin. Hidup Malaysia!