Oleh Azrul Affandi Sobry
HATI mana yang tidak gundah serta resah jika permohonan untuk menunaikan haji belum mendapat sebarang jawapan sedangkan dua lagi anak yang turut sama memohon sudah mendapat lampu hijau untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
Selepas sekian lama menanam impian mengerjakan ibadat itu, pastinya detik menunggu nama disenaraikan dalam kumpulan jemaah haji 2009 adalah satu penantian yang amat meresahkan, tambahan pula apabila mendengar berita kebanyakan jemaah lain sudah menerima tarikh penerbangan masing-masing.
Begitulah keadaan dihadapi seorang jemaah haji dari Kota Tinggi, Johor, Hamkiah Nawawi, 69, apabila namanya tidak disenaraikan pada mulanya ketika dua lagi anaknya, Saadiah Abdul Ghani, 47, dan Ahmad Shukri Abdul Ghani, 34, sudah mengetahui tarikh penerbangan mereka seminggu sebelum Aidilfitri, baru-baru ini.
“Saya dan dua anak mendaftar bersama pada Mac tahun lalu tetapi apabila disemak semula, hanya nama dua anak saya yang tersenarai sebagai jemaah tahun ini. Sejak itu, saya tak pernah tenteram kerana dalam hati ini begitu tak sabar nak mengerjakan ibadat haji.
“Lama juga menunggu dan boleh dikatakan setiap hari anak saya hubungi Tabung Haji untuk mendapatkan kepastian mengenai status saya tetapi sehingga dua minggu sebelum tarikh penerbangan, barulah nama saya disahkan ada dan tersenarai bersama mereka (dua anak).
“Tak dapat digambarkan betapa gembiranya saya ketika itu dan impian untuk menunaikan ibadat haji ini akhirnya tercapai. Dalam usia yang sudah semakin tua ini, saya anggap, inilah hadiah terbesar daripada anak kepada saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam.
Dia turut bersyukur kerana 10 anaknya dan sembilan menantu sanggup berkongsi wang untuk menampung mengerjakan haji meskipun hakikatnya sudah lama dia berkeinginan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Anaknya, Saadiah pula berkata, mereka adik beradik sepakat berkongsi duit untuk membawa ibu tersayang ke Tanah Suci kerana mahu memastikannya dapat mengerjakan haji ketika masih hidup kerana hajat itu tidak dapat dilakukan kepada ayah mereka yang sudah meninggal dunia lebih 20 tahun dulu.
“Kali ini, kami mahu jasa ibu yang membesar kami dibalas. Kami nak dia melihat Tanah Suci dan mencapai impian murni ini selagi dia masih hidup. Kerana itu, kami sepakat berkongsi bersama meskipun bukan semuanya hidup senang. Apa yang penting, ibu gembira,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment