Oleh Penulis Khas YaPEIM
SUATU ketika Abdul Rahman bin Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa 4,000 dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata: "Aku mempunyai 8,000 dirham, aku simpan 4,000 dirham daripadanya untuk diriku dan keluarga, 4,000 lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku".
Lantas Rasulullah SAW bersabda: "Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan."
Firman Allah bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai mengandungi 100 biji dan ingatlah setiap tangkai pula mengandungi 100 biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya." (surah al Baqarah: 261)
Ayat ini diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infak di jalan Allah. Ia boleh dianggap amal yang bakal menjadi pertimbangan pada hari kebangkitan nanti.
Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan 'pada jalan Allah' seperti disebutkan dalam ayat berkenaan antaranya menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.
Tahap tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (agama Islam). Sesiapa yang berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, ia akan mendapat ganjaran besar.
Al-Quran berkali-kali menggalakkan melakukan infak kerana ia wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia satu-satunya cara untuk memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh.
Jika umat bakhil, pasti dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata: "Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasulullah SAW bersabda: " Ya Allah, tambahkanlah untuk umatku."
Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud: "Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda banyaknya? (surah al Baqarah: 245)
Infak iaitu mengeluarkan harta pada jalan kebajikan mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam sistem ekonomi, ia termasuk zakat, sedekah dan perbelanjaan untuk jalan kebajikan.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi misi besarnya 'Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah' mempunyai peranan besar membudayakan amalan sedekah jariah ini.
Di negara kita, amalan ini dipraktikkan secara meluas sama ada menerusi saluran diinstitusikan atau saluran tidak rasmi. Ada banyak institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah ini.
Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing, dapat mewujudkan dana besar serta boleh berperanan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.
Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam sebenar.
Firman Allah bermaksud: "Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab suci, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa."
Infak di jalan Allah tanpa mengungkit dan menyakiti si penerima menjadi sebab penerimaan Allah seperti Rasulullah SAW bersetuju dengan Uthman yang meletakkan 1,000 dirham di depan Baginda untuk tujuan membeli kelengkapan perang Tabuk.
Allah memberikan ganjaran infaq di jalan-Nya dengan tiga perkara iaitu jaminan syurga, menghilangkan rasa takut selepas mati dan menghilangkan rasa sedih atau kemurungan atas apa yang berlaku termasuk musibah.
Allah berfirman: "Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (surah al-Baqarah: 262)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment