Tuesday, November 10, 2009

Ramai umat Islam kurang arif isu derma organ

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Fatwa keharusan memindah anggota wajar disebar didik masyarakat saling membantu

BANYAK soalan dikemukakan pada Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang diadakan di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata masih ada yang belum difahami secara jelas mengenai fatwa pendermaan organ serta isu berkaitan dengannya walaupun keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.

Antara soalan menarik perhatian pada sesi soal jawab itu ialah, apakah hukum menggunakan organ haiwan seperti jantung babi yang hampir serupa dengan jantung manusia sebagai alternatif kerana sukarnya menantikan pendermaan jantung manusia.

Soalan lain, bagaimana pula jika organ yang didermakan itu digunakan untuk melakukan maksiat atau jenayah, apakah penderma akan menanggung dosa disebabkan organ itu milik mereka.

Menjawab persoalan itu, Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Madya Datin Dr Paizah Ismail, berkata pemindahan jantung babi kepada manusia tidak dibenarkan.

Sementara bagi soalan kedua pula, anggota badan manusia tiada nilai selepas kematiannya sama ada didermakan atau tidak, sebaliknya setiap insan dinilai melalui amalan serta iman kepada Allah. Oleh itu, mereka tidak menanggung dosa dilakukan orang yang menerima organ.

"Jelas sekali masih ada persoalan berkaitan isu pendermaan organ ini dan usaha memberi pendidikan kepada masyarakat memang diperlukan walaupun pada dasarnya persoalan mengenainya bukan perkara baru.

"Selain itu, apa yang berbangkit sekarang adakah fatwa mengenai pendermaan organ diterima secara meluas hingga menjadikan masyarakat menerimanya sebagai amalan selaras hukum difatwakan itu," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' menjelaskan, keputusan fatwa mengharuskan menderma dan memindahkan organ tertakluk kepada prinsip menjaga kepentingan semua pihak.

Oleh itu, pemindahan atau pendermaan boleh dilakukan dengan syarat ia tidak menyebabkan penderma menanggung kemudaratan dan pemindahan berlaku dengan izin penderma yang memiliki kelayakan melakukannya.

Proses itu juga berlaku berasaskan keizinan dan niat menderma bukan membabitkan urusan jual beli. Doktor yang melakukan urusan pemindahan perlu mempunyai ilmu yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk terhadap penderma dan penerima.

Dr Paizah berkata, fatwa mengharuskan pemindahan organ seperti mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup meletakkan empat syarat yang perlu diambil kira sebelum pemindahan dilakukan.

Syarat pertama ialah pemindahan dalam keadaan mendesak bahawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan difikirkan berjaya. Kedua, dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah dipastikan.

Ketiga, tindakan sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota, akhirnya ialah dalam kes kematian biasa kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma sementara kematian akibat kemalangan, kebenaran daripada keluarga.

Seminar Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat supaya lebih faham mengenai fatwa yang diputuskan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan, Abdul Jabar Ahmad pula melahirkan keyakinan jika masyarakat boleh faham mengenai kepentingan pendermaan organ, ia boleh meningkatkan jumlah mereka yang berikrar untuk menjadi penderma.

Apabila masyarakat sudah diberi kefahaman mengenai pendermaan organ daripada aspek agama, manfaat pendermaan kepada pihak yang memerlukan dan proses pemindahan daripada segi perubatan, peratusan yang melahirkan hasrat untuk menjadi penderma meningkat.

"Kurangnya jumlah penderma adalah disebabkan persepsi negatif yang wujud atas pelbagai sebab antaranya kurang kefahaman, maklumat tidak lengkap, terpengaruh dengan mereka yang berpandangan negatif dan kurangnya sokongan keluarga.

"Tetapi apabila diberikan penjelasan secara terperinci, kita dapat melihat peratusan yang bertukar fikiran daripada negatif kepada positif terus meningkat. Maknanya, melalui penyebaran maklumat yang jelas, masyarakat akan mula faham dan menyokong usaha ini," katanya.

Namun katanya, walaupun persepsi orang ramai berjaya diubah, masih ada cabaran yang perlu dihadapi kerana kesedaran tidak memastikan seseorang itu bersedia untuk menterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan iaitu menjadi seorang penderma.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis dengan usaha berterusan melalui penyebaran maklumat, kempen kesedaran serta iklan di media cetak serta elektronik akan membantu pihak kementerian meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap isu berkenaan.

Katanya, apabila dimulakan pada 1997, jumlah yang berikrar untuk menderma ialah 2,600 dan dengan promosi yang dijalankan, kini jumlah berikrar mendermakan organ mereka meningkat kepada 134,000. Daripada lima penderma pada 1997 meningkat 26 penderma pada tahun lalu.

"Harapan kita supaya masyarakat terutama ahli keluarga terdekat memahami seterusnya menerima hasrat penderma organ dengan hati terbuka. Ada penderma yang sudah berikrar tetapi keluarga menentang dan kita tidak akan memaksa.

"Alhamdulillah, kita ada juga kes yang tidak berikrar sebagai penderma tetapi setelah mereka meninggal dunia, keluarga datang untuk mendermakan organ ahli keluarga yang sudah meninggal. Sekarang ini kita mahu mereka yang sudah ada pengetahuan terjemahkan dalam bentuk pelaksanaan," katanya.

Sementara itu, sejauh mana pemindahan organ berjaya menyelamatkan nyawa mereka yang menerimanya, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Lela Yasmin Mansor berkata, pemindahan organ adalah kaedah terbaik untuk pesakit mengalami kegagalan organ.

Katanya, selepas pemindahan organ, penerima mampu hidup seperti normal tetapi mesti berhati-hati serta mengamalkan cara hidup sihat supaya tidak terdedah kepada jangkitan kuman yang boleh membahayakan semula kesihatan mereka.

"Kita ada kes penerima buah pinggang hidup selama 31 tahun selepas melakukan pemindahan buah pinggang dan di Amerika Syarikat, Tony Huesman, yang menerima jantung pada 1978 meninggal dunia 9 Ogos lalu, bukan disebabkan jantung tetapi komplikasi kanser.

"Apa yang penting ialah melalui organ yang didermakan, penerima dapat menjalani kualiti hidup lebih baik. Ini yang perlu diketahui masyarakat dan sekarang ini pun masih ramai sedang menanti penderma organ demi menyelamatkan nyawa mereka," katanya.

INFO
Syarat perlu diambil kira sebelum pemindahan dilakukan

# Pertama ialah dalam keadaan mendesak bahawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan difikirkan berjaya

# Kedua dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah dipastikan

# Ketiga tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota

# Keempat ialah dalam kes kematian biasa kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma sementara kematian akibat kemalangan, kebenaran daripada keluarga

No comments: