Monday, November 9, 2009

Lambaian Kaabah: Arab Saudi sentiasa pantau kesihatan jemaah

KERAJAAN Arab Saudi memberi jaminan bahawa ia tidak akan menyekat sesiapa saja, walaupun yang dianggap termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Influenza A(H1N1) atau selesema babi, daripada menunaikan haji tahun ini, menurut Menteri Kesihatan Abdullah Al-Rabeeah yang dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris The Arab News.

Al-Rabeeah dipetik sebagai berkata adalah menjadi tanggungjawab individu untuk meletakkan syarat sama ada untuk membenarkan atau menyekat kumpulan seperti kanak-kanak, warga tua dan wanita hamil untuk menunaikan haji tahun ini.

"Kerajaan Arab Saudi tidak menyekat sesiapa juga kerana haji ini adalah soal ibadat," kata Al-Rabeeah.

Beliau berkata satu juta dos vaksin jangkitan itu akan termasuk dalam fasa pertama kempen menangani jangkitan itu; dengan kumpulan jemaah yang tinggal di Arab Saudi, pekerja kesihatan serta lain-lain pegawai yang terbabit dengan haji, terutama di Makkah dan Madinah; menjadi kumpulan yang diutamakan untuk suntikan vaksin itu. Kerja suntikan vaksin itu diluluskan Saudi Food and Drug Authority (SFDA), US Food and Drug Administration (FDA), dan European Medicines Evaluation Agency (EMEA).

Al-Rabeeah berkata, Kementerian Kesihatan sudah menguji vaksin itu dan menurutnya langkah suntikan vaksin kepada orang ramai itu adalah mengikut cadangan oleh SFDA dan pertubuhan global yang diiktiraf.

"Orang ramai tidak seharusnya risau mengenai kesan vaksin ini. Ia tidak membawa kesan yang serius terhadap kanak-kanak mahupun orang dewasa," katanya.

Beliau berkata hanya dua kes selesema babi dilaporkan sehingga ini daripada setengah juta jemaah yang sudah tiba di Arab Saudi, dan sehingga kini tidak ada tanda-tanda yang penyakit itu akan mengakibatkan jumlah jemaah haji berkurangan tahun ini.

Sehingga ini lebih 7,000 kes selesema babi dilaporkan di Arab Saudi membabitkan 62 kematian, dan menurut Al-Rabeeah yang dipetik akhbar itu, lebih 95 peratus daripada mangsa jangkitan itu sudah pulih sepenuhnya.

Sementara itu akhbar itu melaporkan bahawa kempen media yang dilancarkan kerajaan, menggesa jemaah haji supaya lebih bertanggungjawab ketika mengerjakan haji dan berusaha untuk melaksanakan ibadat itu dengan sempurna.

"Kempen tahun ini adalah terjemahan kepada pelan pembangunan kepada rantau Makkah di bawah moto 'Pembangunan Manusia dan Tempat'," kata Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Putera Khaled Al-Faisal, yang dipetik akhbar itu ketika melancarkan kempen berkenaan.

Beliau berkata kempen itu disasarkan untuk menggalakkan perlakuan yang lebih tertib serta bertanggungjawab di kalangan jemaah haji, dan mendedahkan mereka dengan cara yang betul mengerjakan ibadat itu.

"Agama adalah satu bentuk kerjasama, disiplin dan ketamadunan, tidak perlu sebarang bentuk perlakuan bertentangan dengan peraturan," katanya. - Bernama

No comments: