Friday, November 13, 2009

Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


ABDULLAH bersalaman dengan peserta seminar ketika merasmikan Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq di IKIM, Kuala Lumpur, semalam.


Prinsip syariah untuk kebaikan, elak sebarang keburukan

WUJUD paradoks atau pertentangan pendapat dengan pendapat diterima umum dalam pengamalan Islam di Malaysia. Dari satu aspek, syariah perlu ada keseragaman dan dari sudut lain, undang-undang Islam harus bersifat dinamik serta progresif.

Apakah masyarakat Islam dituntut mengikut ajaran mazhab tanpa soal sedangkan perkembangan semasa memperlihatkan perlu adanya pembaharuan.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata matlamat penciptaan syariah (maqasid al-syariah) dan hukum hakam dalamnya untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan bagi faedah umat manusia.

Katanya, penciptaan syariah itu juga satu pendekatan melakukan penyelidikan ilmiah kerana teorinya sama iaitu berasaskan kepada prinsip menghasilkan kebaikan dan menjauhkan keburukan tetapi dengan syarat perlu tahu secara mendalam maksud kebaikan serta keburukan itu.

"Caranya ialah merujuk keseluruhan hukum syarak berpandukan al-Quran, sunnah dan kemudian merumuskan prinsipnya dalam bentuk menyeluruh supaya apabila timbul persoalan, mudah dikelaskan sebagai kebaikan atau keburukan," katanya pada Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ijtihad, Taqlid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah membahagikan kebaikan kepada tiga kategori iaitu pertama, menyentuh soal hidup mati ummah, keduanya berkaitan keselesaan dan akhirnya mengenai nilai tambah.

Mahmood Zuhdi berkata, berasaskan pemikiran itu ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi memperkatakan bahawa memahami keutamaan menjadi asas penting dalam membuat sebarang keputusan.

Katanya, keutamaan tidak boleh ditentukan kecuali sesudah nas syarak difahami dengan baik, realiti hidup juga difahami secara mendalam dan memerlukan kemahiran melakukan pertimbangan secara tepat.

"Seseorang mujtahid atau penyelidik perlu tahu membezakan antara yang bersifat substantif dan prosedur semata-mata. Ia penting bagi menentukan fokus sebenar ijtihad supaya tidak berlaku perbuatan mementingkan yang remeh dan meremehkan yang penting.

"Apa pun juga, penciptaan syariah mampu membentuk mentaliti objektif berasaskan ini berbanding mentaliti formal yang melihat sesuatu berasaskan bentuk. Ini penting dalam dunia sekarang supaya penilaian melihat kepada sifat sebenar bukan bentuk luarannya saja," katanya.

Seminar anjuran Ikim itu dirasmikan Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya.

Pada pembentangan itu, Mahmood Zuhdi turut menerangkan peranan ijtihad yang menjadi sebahagian metodologi penyelidikan hukum Islam dan empat langkah perlu diambil dalam usaha melakukan penyelidikan (ijtihad) mengikut pendapat al-Raisuni.

Langkah pertama, mengambil kira objektif dalam menentukan hukum iaitu melihat nas bukan pada pengertiannya saja tetapi melihat kepada matlamat ketetapan itu.

Langkah seterusnya ialah melakukan kompromi antara prinsip umum dan dalil khusus; menarik kebaikan dan menolak keburukan, akhirnya mengambil kira kesudahan akibat daripada kesimpulan penyelidikan terhadap masyarakat.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Lukmanul Hakim Hanafi, berkata semua ilmu dalam Islam menerima pembaharuan dan yang dicita-citakan dalam ilmu fiqh ialah menghidupkan semula ijtihad.

Beliau berkata, usaha itu perlu selepas wujudnya dakwaan pintu ijtihad sudah ditutup tersebar luas sedangkan ijtihad adalah kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam merumuskan hukum bertujuan mengetahui hukum diturunkan Allah dengan lebih jelas.





Katanya, semua pihak perlu membersihkan diri daripada sentimen taksub atau fanatik mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukan faktor memecah belah sebaliknya ia aliran penafsiran dan pemahaman syariah.

"Kita tidak harus berasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana ia lumrah dan tabii bagi akal manusia memahami hukum. Kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan sebagai satu perbendaharaan fiqh yang berharga.

"Ia juga bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran fuqaha dalam melaksanakan kewajipan memberi khidmat kepada syariat Islam," katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Penjelasan Epistemologi Sunni.

Katanya, pihak tertentu juga tidak boleh memaksa orang menerima pandangan mereka dalam masalah khilafiyyah dan pada masa sama tidak boleh menentang amalan yang tidak sesuai dengan mazhab dianuti.

Lukmanul Hakim berkata, masyarakat juga jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim menghentam ulama silam yang tidak sealiran dengan mereka sambil menyeru menentang amalan sedangkan ia perkara khilaf ulama semata-mata.

Begitu juga pendakwah, guru atau imam, perlu bijak menangani masalah khilafiyyah kerana tidak bijak mereka membangkitkan isu remeh dalam ceramah atau pengajaran yang hanya menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

"Kita mesti beradab dengan pihak yang berbeza pandangan kerana masing-masing mempunyai hujah serta alasan yang perlu kita hormati. Matlamat kita sepatutnya membangunkan ummah bukan meruntuhkan," katanya.

No comments: