JEMAAH haji menunggu giliran untuk menaiki pesawat berlepas ke Tanah Suci.
Jemaah perlu semaikan sifat sabar dalam menempuh pelbagai ujian di Tanah Suci
UMAT Islam yang berkemampuan dan sudah cukup segala syarat, bakal menunaikan ibadat haji tidak lama lagi. Justeru, pelbagai persediaan dilakukan seperti kursus haji dan umrah sebagai bekalan kepada jemaah yang akan menunaikan ibadat haji nanti.
Di pihak keluarga bakal jemaah haji pula, tidak ketinggalan turut meraikan sanak-saudara yang akan menunaikan ibadat haji. Pelbagai perkara dilakukan bagi meraikan pemergian bakal jemaah haji itu.
Ada sebahagiannya mengadakan majlis doa selamat, sebahagian yang lain pula sibuk mengatur dan merancang segala keperluan yang perlu dibawa saudara mereka ke Tanah Suci. Bagi pihak pengurusan haji pula, beberapa persediaan dibuat untuk pemergian bakal jemaah haji ke Tanah Suci.
Ibadat haji merangkumi ibadat solat, puasa dan zakat. Lantaran itu ia diletakkan di tempat yang terakhir di dalam kewajipan yang wajib ditunaikan oleh seseorang Islam. Dengan erti kata lain, sebelum seseorang itu melaksanakan ibadat haji, maka ibadat solat, puasa dan zakat sudah dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak syarak.
Oleh itu, jika harta atau wang yang dikumpulkan kerana hendak menunaikan ibadat haji itu cukup nisab dan haulnya, maka adalah wajib terlebih dulu dikeluarkan zakat kerana setiap harta yang hendak digunakan bagi menunaikan ibadat haji, mestilah ia harta yang suci dan halal, bukan yang ada di dalamnya hak orang lain, syubahat atau harta yang diperoleh secara tidak halal.
Jika diperhatikan dari segi kemampuan dan keupayaan, begitu ramai orang Islam yang memenuhi syarat tetapi masih belum mendapat rahmat untuk menjadi tetamu Allah. Maka beruntunglah sesiapa dirahmati Allah dibukakan hatinya untuk berkunjung ke Baitullah yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia.
Lebih beruntung lagi bagi setiap yang menjadi tetamu Allah itu ialah sesiapa diterima ibadat hajinya oleh Allah sebagai haji mabrur. Ini kerana haji mabrur adalah jihad paling afdal dan balasannya tidak lain hanyalah syurga.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan patuh terhadap segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sehubungan itu, janganlah sekali-kali kita merosakkan ibadat haji yang dikerjakan dengan percakapan atau perbuatan tidak berfaedah atau menyakiti insan lain.
Kita harus mempunyai pertahanan diri yang kuat. Antaranya ialah untuk menanamkan sifat sabar dalam diri kita; sabar daripada perasaan marah; sabar daripada berbuat kerosakan; sabar di atas kesusahan yang bakal ditempuh dan sabar dalam menerima ujian daripada Allah.
Janganlah juga ibadat kita rosak kerana melakukan perkara mungkar serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti mengumpat, mencaci, memaki hamun dan mengutip batu di Tanah Suci untuk dibawa balik ke tanah air.
Oleh itu bagi setiap orang Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui segala rukun dan adab haji dengan betul supaya hajinya diterima oleh Allah.
Apalah gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan begitu besar seperti ganjaran orang yang berjihad di jalan Allah itu rosak dan binasa disebabkan perkara mungkar dan khurafat yang kita kerjakan. Malah ibadat haji yang kita kerjakan itu tidak diterima oleh Allah dan ia menjadi sia-sia.
Oleh yang demikian, bakal jemaah haji seharusnya mengambil perhatian berat berhubung perkara ini dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan khurafat. Mudah-mudahan dengan kita menjauhi segala perkara mungkar dan khurafat itu ibadat haji kita akan diterima oleh Allah.
Allah berfirman yang bermaksud, "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah, sesiapa mengingkari kewajipan haji, sesungguhnya Allah Maha Kaya tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam" (Surah Ali 'Imran: 97).
No comments:
Post a Comment