Saturday, November 7, 2009

Lambaian Kaabah: Pakar rujuk Tabung Haji jawab kemusykilan jemaah

TABUNG Haji menyediakan pakar rujuk dan guru agama yang ditempatkan di semua pusat penginapan jemaah haji Malaysia di kota suci ini bagi menjawab soalan mengenai sebarang kemusykilan mengenai ibadah haji.

Pengurus Besar Bahagian Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata pada tahun ini Tabung Haji menyediakan seramai 31 guru agama yang diagihkan di 10 tempat penginapan atau Maktab Tabung Haji dengan setiap maktab mempunyai guru agama khusus agar mereka dapat menumpukan perhatian ke atas masalah jemaah haji.

Selain itu, Tabung Haji juga menyediakan tiga pakar rujuk ibadah haji sekiranya ada persoalan tertentu yang memerlukan pendapat mereka lebih arif, katanya kepada pasukan media Tabung Haji di sini.

Katanya, pengalaman lalu menunjukkan bahawa kes wanita datang haid ketika melakukan ibadah adalah kes terbanyak dirujuk kepada bahagian bimbingan.

"Ini kerana ada di antara wanita mengalami perubahan dari segi kitaran haid ketika sampai di Tanah Suci ekoran masalah perubahan cuaca serta keadaan persekitaran serta ada juga wanita yang memakan ubat penahan haid.

"Oleh itu, saya berharap wanita jangan sembunyikan kedatangan haid mereka dan merujuk kepada guru agama yang disediakan di bahagian bimbingan bagi mendapatkan kepastian mengenai ibadah mereka dari segi hukum," katanya.

Sebagai contoh, katanya seorang wanita yang mengerjakan umrah, selepas selesai melakukan tawaf dan sai didatangi haid sebelum sempat bertahalul.

Katanya wanita berkenaan perlu merujuk kepada guru agama di bahagian bimbingan bagi mendapat kepastian mengenai amalan yang sudah beliau lakukan dari segi hukum Islam untuk menghilangkan sebarang keraguan.

Bagaimanapun Tengku Aziz berkata, secara keseluruhannya jemaah haji Malaysia sudah memahami persoalan dari segi rukun dan wajib haji menerusi pelbagai siri kursus haji serta forum yang dijalankan Tabung Haji sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci.

Oleh itu, katanya kebanyakan persoalan yang dirujuk kepada bahagian bimbingan ialah untuk kepastian serta memantapkan lagi kefahaman mereka berkaitan soal hukum agama seperti soal dam (denda yang dikenakan kerana melanggar peraturan).

Tengku Aziz berkata kebanyakan jemaah haji Malaysia yang dikenakan dam adalah kerana melakukan kesalahan kecil seperti rambut gugur ketika berihram dan belum pernah jemaah haji Malaysia dikenakan dam yang berat seperti menyembelih seekor unta atau seumpamanya. � Bernama

No comments: