SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.
Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi)
Jenis ujub termasuklah:
# Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.
# Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah: “Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)
# Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).
Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
Sumber: 'Syiar Islam' Risalah Surau NSTP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sikap ujub yang dipaparkan dalam artikel ini memang menjadi amalan orang Melayu liberal, elite,pendukung pemerintah agar dapat meneruskan keujuban mereka. Orang kecil dipijak kerana sikap yang keterlaluan ini.
Post a Comment