PERANAN dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.
Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom.
Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Constantinople) ketika usia beliau 21 tahun. Peranan golongan muda juga disebut dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh golongan muda berani mempertahankan akidah daripada raja yang zalim.
Firman Allah yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), ketika mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” - (Surah al-Kahfi, ayat 13-14)
Golongan beliau menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan saja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur.
Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan negara.
Justeru, marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian bersama berganding bahu serta bekerjasama membina anak bangsa dengan acuan dan cara hidup sihat berteraskan ajaran Islam yang suci.
Ini selaras firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” - (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Oleh itu, belia Muslim perlu bangkit menyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa depan negara, mereka perlu meletakkan diri sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati serta disegani masyarakat dunia.
Jika golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi serta terbaik.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” - (Surah Ali-Imran, ayat 104)
Sesungguhnya tanggungjawab besar belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Peranan belia hari turut menyumbang ke arah membangun modal insan supaya menjadi bangsa dihormati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment