Wednesday, May 27, 2009

Iqra: Mendalami cara, panduan dapatkan ibadat sempurna

Judul: Sukses dengan Beribadah
Penulis: Dr Sulaiman al-Asyqar
Penerbit: Jasmin Enterprise
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM20.

KEHIDUPAN dunia hanyalah kesempatan amal bagi menghadapi hari akhirat dan tempoh masanya adalah umur masing-masing. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam menjalani kehidupan berdasarkan syariat ditetapkan demi kejayaan di akhirat nanti.

Buku Sukses dengan Beribadah memberi penjelasan mendalam mengenai amal perbuatan yang menyeluruh, bukan amalan perbuatan tertentu dalam usaha seseorang itu menempah tempat yang selesa selepas dibicarakan di hadapan Allah nanti.

Bab satu buku ini membahaskan mengenai amal soleh serta hubungan dengan takdir, tabiat amal soleh terdiri daripada amal ibadah sebenar, perintah dan larangan, ukhrawi dan duniawi serta zahir dan batin.

Perbahasan dilengkapkan dengan nas berkenaan keutamaan amal soleh secara umum dan apakah ia diterima atau sebaliknya berdasarkan al-Quran serta hadis Rasulullah SAW. Begitu juga peringkat amal soleh supaya pembaca mempunyai motivasi untuk melakukannya.

Bab kedua membicarakan perbuatan buruk sebagai cara menghindarkan kita daripada melakukannya serta apakah kesan perbuatan itu terhadap pelaku di dunia dan akhirat, apakah ia termasuk dosa kecil atau besar.

Bab berikutnya dikhususkan kepada balasan perbuatan baik atau buruk kerana setiap perbuatan pasti akan dinilai di sisi Allah melalui perbahasan bagaimana ia akan dibentangkan seluruh catatan amalan manusia di dunia.

Akhirnya, kisah mengenai timbangan membabitkan kehidupan akhir yang baik atau buruk selain dijelaskan peringkat syurga dan neraka. Setiap perbahasan dalam buku ini dibahagi kepada sub topik yang menerangkan permasalahan dan perbahasan.

Buku ini ibarat buku tafsir, hadis, fikah, tauhid, nasihat dan wasiat kerana keseluruhannya menceritakan perbuatan manusia, mengajak kepada perkara dikehendaki Allah dan mencegah perbuatan buruk.

No comments: