SOLAT tengah malam, menghafal al-Quran, amalan puasa sunat Isnin dan Khamis, membanyakkan ibadah sunat, menjauhkan diri daripada riak, menggabungkan sistem pendidikan duniawi dan ukhrawi serta reda dengan ujian Allah.
Itulah antara rahsia kejayaan pelajar yang mencipta kecemerlangan luar biasa apabila mendapat keputusan 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008, Nik Nur Madihah Mohd Kamal dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Rahsia itu dikongsi anak pasangan Mohd Kamal dan Mariyani Omar, dalam buku Nik Nur Madihah Permata Generasi Rabbani. Kekurangan dari segi material bukan penghalang untuk maju dan itu sewajarnya menjadi pegangan umat Islam seperti Nur Madiah yang sentiasa tahan diuji kerana berpegang erat kepada firman Allah bermaksud: “Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah.” Setiap berlaku ada hikmahnya kerana sesungguhnya Allah lebih tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu berlaku
Justeru, daripada pengalaman pelajar cemerlang itu, tidak dapat disangkal selain memiliki kemahiran belajar serta otak bijak kurniaan Allah, memegang Islam sebagai pegangan jitu dalam kehidupan penting untuk mencapai kecemerlangan.
Ciri generasi Rabbani, walaupun bergelumang dengan buku dan pelajaran, tetap berpegang teguh kepada ajaran agama. Buku dibaca, sampai waktu solat tidak dilupa, pelajaran ditelaah dan amalan sunat terus ditunaikan.
Memetik kata-kata Nik Nur Madihah mengenai resipi kejayaannya: “Resipi kejayaan saya adalah menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Dengan Allah saya cuba menjadi seorang hamba sebaik mungkin yang yakin dengan kekuasaan Allah.
Sementara hubungan sesama manusia, saya cuba tidak menyakiti hati orang lain, tidak sombong serta menghormati orang tua.”
Buku dihiasi gambar menunjukkan pelbagai kegiatan anak sulung daripada empat beradik itu tidak menjanjikan perkara istimewa, sebaliknya menggambarkan kehidupan insan biasa tetapi memiliki semangat kental untuk mencapai kejayaan.
Wednesday, May 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment