Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
MASIH adakah semangat meraikan hari ibu dirasakan anda sebagai anak selepas kebanyakan kita meraikannya pada Ahad minggu kedua pada Mei setiap tahun yang kebetulan jatuh pada 10 Mei lalu atau perasaan itu sudah hilang.
Ada beberapa perkara menarik dapat dilihat di Australia sempena sambutan Hari Ibu yang menjentik persoalan untuk dibincangkan. Sepanjang sambutan, televisyen menayangkan pelbagai filem serta drama menggambarkan pengorbanan ibu terhadap keluarga.
Iklan harga runtuh bagi barang seperti rantai emas, loket, barang kesihatan dan bermacam-macam lagi yang boleh dijadikan hadiah untuk ibu ditayang dengan kerap setiap hari. Mereka menjadikan Hari Ibu sebagai satu hari yang sangat penting dalam kalendar mereka.
“Apakah anda sudah memberi sekuntum bunga untuk ibu anda? Jika belum, telefonlah ibu anda hari ini untuk menyatakan kasih anda”. Nota kecil bertulis kata-kata itu ditampal di semua muka hadapan akhbar yang dijual di Melbourne mengingatkan pembaca supaya mengingati ibu mereka.
Sekolah juga tidak terkecuali memainkan peranan. Pada dua minggu pertama bulan Mei, pihak sekolah akan menjadikan acara mereka cipta, melukis dan mewarna kad ucapan oleh pelajar untuk ibu masing-masing sebagai acara penting dalam bilik darjah.
Semua pelajar diminta melukis dan meluahkan perasaan sayang kepada ibu dalam kad itu. Kad berkenaan akan disimpan di sekolah sehinggalah hari terakhir sebelum tibanya Hari Ibu dan pelajar diminta menyerahkan pada ibu masing-masing pada hari Ahad sempena Hari Ibu.
Pihak sekolah juga menulis surat kepada ibu bapa supaya dapat memberi anak sejumlah wang untuk membeli hadiah buat ibu masing-masing yang dijual oleh pihak sekolah. Antaranya, lampu meja, buku dan lampu kristal berbentuk hati. Tujuannya supaya setiap anak mempunyai satu hadiah dan satu kad untuk ibu mereka pada hari itu.
Tindakan sekolah itu adalah suatu yang positif bagi membina semangat dan kesungguhan pelajar menghargai ibu mereka. Wajar juga amalan itu digalakkan di sekolah di Malaysia bagi menanam semangat cintakan ibu di kalangan pelajar.
Bagaimanapun, di sebalik pendekatan dibuat, ada satu yang masih tidak memenuhi hasrat kerana ibu hanya diraikan pada hari itu saja. Ibu dan bapa adalah insan mulia yang wajib dihormati dan diraikan sepanjang hayat sama ada mereka Muslim atau bukan Islam sekali pun.
Ilmuwan Islam sebenarnya berbeza pendapat mengenai sambutan Hari Ibu kerana ada berpendapat menyambutnya adalah haram atas dasar ia menyerupai amalan orang bukan Islam dan orang Islam meniru membuta tuli tanpa menyelidik apakah yang ada di sebalik sambutan itu. Apatah lagi tindakan mengambil satu hari dan dinamakan Hari Ibu tidak diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW atau sahabat.
Pendapat kedua mengatakan, harus dan dibolehkan dengan syarat anak menunjukkan penghormatan dan menjaga kebajikan ibu bukan dihadkan pada hari itu saja, tetapi meraikan ibunya sepanjang masa. Cuma pada hari itu dilebihkan penzahiran kasih sayang dan penghormatan berbanding hari lain.
Pendapat Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), Sheikh Faysal Mawlawi, yang disiarkan dalam islamonline sangat menarik untuk diperhatikan.
Beliau menyebut, semua Muslim wajib menghormati ibu dan bapa masing-masing terutama ibu. Apa yang Islam tidak benarkan adalah kita meniru orang bukan Islam dengan meletakkan satu hari sebagai hari meraikan ibu, seolah-olah hari lain ibu tidak diraikan.
Jika kita ingin menjadikan seluruh hari dalam setahun adalah Hari Ibu, maka Islam sangat meraikannya dan tidak ada sebarang bangkangan dalam pandangan Islam.
Apa yang berlaku dalam segelintir kehidupan orang Barat ialah anak yang meninggalkan dan tidak menjaga kebajikan ibu mereka, tetapi kembali ke rumah ibu bapa bertanya khabar hanya pada Hari Ibu dan menunjukkan penghargaan kepada ibu mereka pada hari itu saja. Selepas hari ibu, keadaan akan kembali kepada biasa. Hidup terpisah seperti sebelumnya.
Umat Islam sewajarnya mempunyai pendirian jelas dalam isu ini. Kita mesti menghormati, meraikan dan menzahirkan kasih sayang dan menjaga kebajikan ibu dan juga bapa sepanjang mereka masih hidup.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran Kefahaman Islam (CITU), Shah Alam dan sekarang sedang menyambung PhD di Universiti La Trobe, Melbourne.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment