Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Umat Islam diberi peringatan supaya jauhi sifat ujub, riak yang boleh rosak, kesucian hati
ISLAM yang menjadi pegangan pada dasarnya mengungkap makna kepatuhan dan ketundukan secara menyeluruh kepada Allah. Justeru, Islam dalam kerangka pengertian itu tidak akan dapat dicapai tanpa dimulai sifat keikhlasan iaitu penyerahan diri sepenuhnya ke hadrat Ilahi.
Firman Allah bermaksud: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Sifat ikhlas antara sifat terpuji menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah dan keikhlasan menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan itu diterima-Nya ataupun sebaliknya. Keikhlasan menjadi penentu kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.
Jika diteliti rangkaian ayat suci al-Quran, keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim bertakwa. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2)
Menurut ulama, ikhlas bermaksud safa' iaitu suci bersih lagi bening. Safa' al-qalb iaitu suci dan bersih hatinya kerana orang yang ikhlas adalah seorang yang amat bersih lagi suci hatinya.
Imam al-Ghazali menegaskan, ikhlas itu niat yang benar ketika melaksanakan sesuatu amalan. Setiap amalan salih dan kebajikan yang hendak dilakukan sewajibnya berorientasikan kerana Allah.
Tanpa keikhlasan, semua amalan kebajikan dilakukan amat mudah terkena penyakit hati yang berbahaya iaitu riak dan ujub. Seorang yang ikhlas sebenarnya adalah insan dilindungi Allah daripada penyakit hati itu.
Sehubungan itu, Rasulullah ada memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah seperti riak, ujub dan sombong hinggakan pada satu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa yang memusuhi wali Allah nescaya sesungguhnya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta yang tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir pun di situ mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka seumpama lampu petunjuk yang akan menyuluh mereka keluar daripada tempat yang gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim)
Demikianlah gambaran indah dilukiskan Rasulullah SAW mengenai hamba yang mengikhlaskan dirinya kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya apa yang mereka harapkan hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.
Itulah cita-cita dan impian mereka setiap detik kehidupan yang sarat dengan pengabdian penuh tulus lagi kudus semata-mata kerana Allah. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah. Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163)
Imam al-Ghazali menyatakan, semua manusia sebenarnya celaka, kecuali orang yang berilmu. Ilmuwan itu pun celaka, kecuali mereka yang benar-benar mengamalkan ilmu mereka. Dan yang disebutkan terakhir itu pun celaka, kecuali mereka yang menghiaskan diri dengan sifat ikhlas.
Ringkasnya, selama mana seseorang Muslim itu menyerahkan dirinya dengan penuh keikhlasan kepada Allah, maka selama itulah segala gerak geri, diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai satu langkah ikhlas serta tulus menuju keredaan Allah.
Seorang yang ikhlas pada asasnya tidak akan terpengaruh atau termakan dengan pujian dan cercaan dilontarkan manusia lain kerana bagi mereka segala pujian indah atau cercaan buruk sama saja nilainya.
Oleh itu, tidak termasuk dalam kelompok orang yang ikhlas jika seseorang itu suka dipuja dan dipuji, apatah lagi takut pula dicerca oleh khalayak ramai.
Seorang yang ikhlas selalunya tidak mengharapkan sebarang balasan ataupun ganjaran daripada amalan kebajikan dilakukan, melainkan dia hanya mengharapkan keredaan Ilahi semata-mata. Ini bermakna orang yang beribadah dan bekerja kerana mengejar kepentingan duniawi seperti mencari populariti, pangkat dan harta bertimbun, maka dia bukanlah daripada kalangan orang mengikhlaskan diri kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa, kemudian diasing-asingkan, apa yang dikerjakan kerana Allah dan apa dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi)
Orang yang ikhlas tidak mengungkit kembali segala kebaikan dilakukan. Ini bererti orang yang selalu menyebut kebaikannya, apalagi mencerca dan memburukkan orang pernah diberinya bantuan, sesungguhnya dia jauh daripada kelompok orang yang ikhlas.
Bukankah Rasulullah SAW pernah memerintahkan supaya memberi sedekah secara diam-diam, jauh daripada pandangan khalayak ramai ibarat tangan kanan memberi hinggakan tangan kiri pun tidak mengetahuinya.
Pendek kata, harta dan kemewahan dunia serta pesonanya tidak mempunyai erti, sebaliknya harta paling bernilai ialah hati yang ikhlas. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim)
Jika begini kedudukan seorang yang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan, maka kita sebagai umat Islam sewajibnya menghiaskan diri dengan sifat mulia itu dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment